THORPE pada majlis perlancaran filem Tujuh Dua Belas di Swiss Garden Kuala Lumpur.
THORPE pada majlis perlancaran filem Tujuh Dua Belas di Swiss Garden Kuala Lumpur.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


Kes penculikan kanak-kanak antara kes jenayah yang sering berlaku dan kerap mendapat perhatian ramai.

Malah, igauan ngeri mengenai kes penculikan membabitkan 'van putih' yang pernah tular dulu juga sukar dilupakan.

Kisah ini menjadi inspirasi kepada syarikat produksi Osmosis Production Sdn Bhd menghasilkan filem aksi berjudul Tujuh Dua Belas yang mengangkat tema mengenai jenayah berkenaan.

Thorpe Ali, 65, selaku pengarah berkata, idea penghasilan filem ini bermula sejak 10 tahun lalu dan ia tercetus dengan kisah penculikan yang sering berlaku ketika itu.

"Judul Tujuh Dua Belas membawa maksud kejadian penculikan yang berlaku dari jam 7 pagi hingga 12 malam dan memberi mesej sekiranya kejadian sebegitu berlaku, tindakan pantas perlu diambil.

"Kejadian penculikan selalunya tidak menunggu masa lama kerana mudah dikesan dan filem ini menunjukkan watak utamanya berusaha mencari penculik," katanya.

Tujuh Dua Belas mengisahkan mengenai atlet seni bela diri, Safia lakonan Farali Khan yang terpaksa bertarung nyawa menyelamatkan anak saudaranya yang diculik sekumpulan penyeludup organ manusia.

Selain Farali yang membawa watak utama, filem ini turut menampilkan lakonan Johan As'ari. Pesilat popular Indonesia, Chintya Chandranaya pula menjadi antara tarikan istimewa filem ini.

Thorpe berkata, dia membuat pemerhatian dan mendapati genre aksi antara yang digemari penonton selain genre seram dan komedi.

Selain itu, dia turut menampilkan perbezaan dengan filem aksi yang pernah diterbitkan.

JOHAN antara teraju utama filem Tujuh Dua Belas.
JOHAN antara teraju utama filem Tujuh Dua Belas.

"Kebanyakan filem aksi lain selalunya membawa watak lelaki sebagai bintang utama. Berbeza dengan filem ini, Tujuh Dua Belas mengangkat wanita yang lincah dalam seni bela diri.

"Sebab itu saya pilih Farali kerana dia memiliki asas seni bela diri MMA, begitu juga Chintya yang sememangnya tular dengan aksi menendang tong gas terutama sekali di YouTube," katanya yang merancang menggabungkan pelakon Malaysia, Indonesia dan Kemboja nanti.

Bagaimanapun, Thorpe akui pelbagai cabaran yang perlu dia harungi dalam menjayakan filem ini.

"Cabaran sepanjang penghasilan Tujuh Dua Belas adalah pergerakan yang terbatas dan banyak babak yang tidak dapat dibuat memandangkan ketika itu negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada juga pelakon yang tak sihat pada waktu itu, jadi saya tidak boleh teruskan babak yang dirancangkan dan perlu tukar dengan babak yang lain kerana saya tak mahu ganggu mereka." katanya.

Sementara itu, Tujuh Dua Belas dicalonkan dalam Anugerah First-Time Filmmaker Session oleh Lift-Off Global Network di mana pemenangnya bakal diumumkan pada 10 April ini.

Thorpe berkata, dia bersyukur apabila filem itu dicalonkan kerana ia bukan mudah.

"Jika ada rezeki dalam anugerah ini, dapat menunjukkan hasil kepada orang ramai yang filem ini turut diterima negara luar.

"Semua pengarah bercita-cita untuk membuat filem, tapi sejauh mana filem itu pergi dan dapat memenangi hati rakyat untuk menonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 6:50 AM