Amirul Haswendy Ashari

Jujurnya, Thor: Ragnarok adalah terbaik pernah dihasilkan berbanding tiga versi terdahulu Thor. Premisnya, Asgard kelihatan lebih berwarna-warni dan luas.

Sinematografi dan suntingannya juga lebih bersih, bergaya dan ditambah pula premis filem yang sangat menyerlah.

Kesan khas dan aksinya pula bukan saja menarik, malah mempunyai haluan. Berbanding dulu, aksi sekadar diisi untuk menampakkan kehebatan watak itu sahaja. Selain itu, runut bunyi juga penuh debaran dan emosi tersendiri.

Filem ini adalah pesaing buat filem aksi jenaka terbitan Marvel. Dialognya penuh dengan unsur jenaka dan ‘punch-line’ yang pasti diingati penonton. Terutama tatkala Thor, Loki dan Hulk bertemu dalam babak pertarungan arena.

Pun begitu, filem ini berjaya bukan kerana jenakanya, sebaliknya ia adalah karya yang berjaya membuatkan penonton berasa kagum.

Jika dibandingkan dengan rendisi sebelum ini, Thor: The Dark World, aksinya jauh lebih mengujakan dan menakjubkan. Skala keterujaannya seperti menonton filem The Lord of the Rings yang sudah diperincikan.

Ada banyak momen beremosi dan penuh tekanan yang menjadikan filem ini mempunyai ‘jiwa’ tersendiri. Malah naratifnya bergerak dengan lebih selesa.

Pengarahnya bijak seimbangkan jenaka, aksi dan drama dengan sempurna. Ia menunjukkan penceritaan filem ini disusun dengan padat, berstruktur dan tersusun sebelum penggambaran dilakukan.

Perkembangan karakter juga lebih luas. Mereka bukan saja menarik perhatian penonton tetapi menghiburkan. Setiap watak diperincikan dengan personaliti masing-masing agar lebih adil ditonton di layar.

Watak Thor dan Loki berjaya ditonjolkan dengan baik dan Hulk pastinya watak paling menarik setakat ini. Watak Hela pula bukan saja antagonis yang luar biasa, juga boleh dianggap mencipta ruang perhatian sendiri bagi peminat filem ini.

Rumusannya, filem ini antara terbaik pernah dihasilkan Marvel untuk karakter Thor.

• FILEM: Thor: Ragnarok

• ARAHAN: Taika Waititi

• PELAKON: Chris Hemsworth, Tom Hiddleston, Cate Blanchett, Idris Elba, Jeff Goldblum, Tessa Thompson, Karl Urban, Mark Ruffalo, Anthony Hopkins

• GENRE: Aksi fantasi

• TAYANGAN: 29 Oktober 2017

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 4:48 AM