FARALI (kiri) dan Chintya, pelakon utama filem Tujuh Dua Belas. FOTO Aizuddin Saad
FARALI (kiri) dan Chintya, pelakon utama filem Tujuh Dua Belas. FOTO Aizuddin Saad
Norhayati Nordin


SENI bela diri seperti silat, judo, karate, wushu, tekwando dan Muay Thai sebelum ini mungkin sinonim dengan lelaki. Namun, sekarang situasinya berubah.

Didapati sudah ramai wanita menyertai kelas seni bela diri, termasuk dari usia kanak-kanak lagi. Ia sebagai langkah awal mempersiapkan diri berlatih ilmu seni bela diri untuk keselamatan.

Kesempatan menonton tayangan filem Tujuh Dua Belas arahan Thorpe Ali baru-baru ini, secara tidak langsung membuka mata betapa penting seni bela diri untuk wanita mempelajarinya dan mahir dalam setiap pergerakan.

Ia berikutan, malang tidak berbau dan wanita pula sering terdedah dengan bahaya setiap masa. Apatah lagi, selepas bergelar ibu pastinya tanggungjawab untuk melindungi anak-anak.

Mengangkat wanita sebagai hero filem, Tujuh Dua Belas menampilkan gandingan dua wanita hebat iaitu Farali Khan, 34, dan pesilat dari Indonesia, Chintya Candranaya, 28, yang tangkas beraksi lasak.

Bagi mereka, membintangi filem aksi adalah satu kepuasan pada diri apabila semua babak yang perlu bertarung itu dilakukan sendiri. Malah, kecederaan kecil dialami adalah perkara biasa dan satu cabaran.

Farali Khan atau nama sebenarnya, Norfara Ali Dad Khan berkata, dia amat berbesar hati mendapat peluang membintangi filem Tujuh Dua Belas kerana banyak babak aksi perlu dilakonkan sendiri.

"Ketika pengarah, abang Thorpe menawarkan projek filem ini, saya terus tertarik dengan jalan ceritanya. Ia kisah kekeluargaan, yang mana ibu saudara perlu menyelamatkan anak saudara yang diculik sendikit penjualan organ.

"Saya memberikan sepenuh komitmen untuk filem ini dan menariknya, semua aksi bertarung saya

buat sendiri. Sejujurnya, saya betul-betul puas berlawan dalam filem ini walaupun mengalami kecederaan," katanya.

Menurut Farah, dia mengalami cedera rahang yang terkehel ketika melakonkan aksi pertarungan dengan seorang pelakon.

Katanya, dia bernasib baik kerana cedera ringan saja.

"Saya mengalami cedera rahang terkehel yang agak teruk juga. Tapi, alhamdulillah kecederaan itu tidak serius sehingga memerlukan rawatan lanjut.

FARALI lakon watak Safia. FOTO Aizuddin Saad
FARALI lakon watak Safia. FOTO Aizuddin Saad

"Apa pun, saya puas dengan hasil filem ini dan berharap ia mendapat sambutan baik penonton di pawagam. Filem Tujuh Dua Belas ini adalah karya aksi yang tidak membabitkan percintaan langsung," katanya.

Menurut Farali, filem ini amat sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan banyak pengajaran untuk dijadikan iktibar kita semua. Katanya, isu penculikan kanak-kanak adalah perkara serius dan membimbangkan.

Selain Farali, filem Tujuh Dua Belas membariskan pelakon lain seperti Johan Asa'ari, Adam Darwisyh, Idzham Ismail, Souya dan Doy Bohai. Filem ini menemui penonton di pawagam mulai 4 Mei lalu.

Chintya 'viral' tendang tong gas

Sedar namanya masih baharu di Malaysia, Chintya Candranaya tidak menganggap ia satu halangan untuk dia cuba mengembangkan bakat lakonan di negara ini.

Katanya, dia bersetuju berlakon dalam Tujuh Dua Belas kerana berpegang janji.

CHINTYA bawa watak Desi. FOTO Aizuddin Saad
CHINTYA bawa watak Desi. FOTO Aizuddin Saad

"Saya sudah kenal dengan abang Thorpe agak lama sejak 2018. Malah, dia menawarkan saya untuk filem ini menerusi kiriman mesej di Instagram dan saya berjanji dengannya. Alhamdulillah, saya tertarik dengan jalan cerita yang mengangkat semangat wanita.

"Malah, berlakon dengan Farali, saya berasakan gandingan yang tepat kerana antara kami ada kemahiran seni bela diri. Jadi, tidak sukar untuk kami membina keserasian dalam watak," katanya yang belajar silat sejak kanak-kanak.

Ditanya mengenai video 'viral' tendang tong gas itu, Chintya berkata, dia memang berlatih silat dengan menendang tong gas.

Katanya, dia juga pernah membuat latihan dengan menendang besi dan itu perkara biasa dilakukan.

"Saya didedahkan dengan silat oleh arwah datuk sejak kanak-kanak. Jadi, saya gembira dan bangga sudah mahir bersilat dan sebagai wanita, adalah wajar mendalami ilmu seni bela diri.

"Sejak dari dulu saya berlatih dengan menentang tong gas, besi dan sebagainya. Cuma, tidak sangka video tendang tong gas itu boleh 'viral' di media sosial hingga Malaysia. Apa pun, saya harap penonton akan menyokong filem Tujuh Dua Belas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 7:00 AM