Johan As’ari
Johan As’ari
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : Selama lima tahun menjalin hubungan istimewa jarak jauh dengan wanita dikenali sebagai 'N' yang berkelulusan Doktor Falsafah dalam jurusan Sains Politik dari universiti di United Kingdom, pelakon, Johan As'ari, 37, amat berharap akan berkahwin tahun ini.

Johan ketika ditemui berkata, dia memang meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga tahun ini dan sekarang rancak membuat persiapan perkahwinannya dengan wanita yang juga usahawan mangga Harumanis di Perlis itu.

"Alhamdulillah, dia wanita hebat dan amat berdikari. Saya bersyukur sekiranya Allah memakbulkan jodoh kami. Harapan saya, semoga apa yang dirancang sekarang menjadi kenyataan bila sampai masanya.

"Kini, persiapan perkahwinan hampir 90 peratus siap. Pilihan hati pun sudah ada. Cuma, belum menetapkan sebarang tarikh saja. Masih tidak diputuskan lagi (tarikh) dan saya akan hebahkan kalau ia jadi nanti.

"Apapun, perbincangan dengan orang-orang tertentu juga sudah dibuat. Yang nak taja baju (perkahwinan) kami pun dah ada. Jadi, kiranya memang sudah semakin nampak ke arah itu (berkahwin)," katanya ketika ditemui di malam gala filem Tujuh Dua Belas di pusat beli belah di sini, malam tadi.

Mengulas keperibadian wanita yang difahamkan berusia 39 tahun itu, Johan juga pelakon filem Juvana dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berkata, kekasihnya itu seorang yang suka memberi sokongan dan semangat.

"Dia tak ajar saya dengan duit. Dia suka beri saya semangat, sokongan dan kekuatan untuk melakukan apa saja yang saya nak buat. Malah, ada masa juga yang saya tidak bersemangat seperti buat 'live' di TikTok, dia pasti galakkan saya dengan memberi semangat.

"Ini termasuk penyertaan saya dalam pertandingan menyanyi pun dia sokong juga. Jadi, saya bertambah yakin diri dan bersemangat mencuba," katanya mengakui sering berhadapan soalan bila akan berkahwin daripada bapa, keluarga dan saudara mara.

Berbicara lakonannya sebagai watak jahat, Bentayan, Johan berkata, dia puas dengan hasil filem Tujuh Dua Belas arahan Thorpe Ali yang disifatkan mantap kerana melakukan banyak babak aksi sendiri.

"Dalam filem ini, saya betul-betul dapat bertarung dalam banyak babak. Semua aksi (pertarungan) itu saya buat sendiri dan amat kagum dengan aksi bela diri pelakon Farahali Khan dan Chintya Chandranaya dari Indonesia," katanya.

Filem Tujuh Dua Belas yang menjalani penggambaran Januari 2022 akan menemui penonton mulai esok.

Ia mengangkat kehebatan wanita dalam aksi bela diri untuk selamatkan kanak-kanak diculik daripada sindiket penjualan organ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 11:40 AM