DIANA Danielle & Farid Kamil. FOTO arkib NSTP
DIANA Danielle & Farid Kamil. FOTO arkib NSTP
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Pasangan pelakon, Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, bakal menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 28 Mac ini selepas Farid enggan melafazkan cerai.

Pengurus Farid, Azahari Hamid ketika dihubungi berkata, pelakon itu masih teguh dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga mereka susulan Diana memohon perceraian.

"Berhubung JKP itu, ia dijadualkan akan berlangsung pada 28 Mac ini. Bagaimanapun, butiran lanjut belum diberitahu lagi.

"Farid akan mempertahankan rumah tangga mereka. Buat masa ini, dia okay saja dan tidak terkesan walaupun sedang menjalani penggambaran," katanya.

Menurut Azahari, Farid juga masih tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, Diana serta berjumpa anak-anak.

"Dia masih tidak diberi kebenaran," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Diana bagi mendapatkan kenyataannya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Sementara itu, Farid juga enggan memberikan sebarang komen mengenai pengarah, Syamsul Yusof yang mahu memfailkan saman terhadapnya.

Ia susulan Farid dikatakan menyindirnya di Instagram Stories dan mendakwa pernah memukul wanita bernama Diana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 11:09 AM