Farid Kamil ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Gold di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.
Farid Kamil ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Gold di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.
Ramlah Zainal


Shah Alam : Pelakon, Farid Kamil, 42, mendakwa dia mempunyai bukti bergambar menunjukkan isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle, 32, curang.

Namun, Farid enggan mendedahkannya kepada umum sekarang tetapi akan melakukannya di mahkamah nanti.

"Saya ada bukti bergambar. Namun, saya tak boleh tunjuk kepada umum sekarang. Saya akan dedahkan di mahkamah," katanya.

Terdahulu, Farid ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, mendedahkan keretakan rumah tangga bersama Diana berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Farid berkata, dia mula menghidu mengenai kecurangan yang berlaku sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, Diana menafikan dia curang dan mendakwa apa yang berlaku adalah berpunca daripada Farid dan meletakkan 100 peratus kesalahan terhadap suaminya itu.

Farid ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Gold arahan Adrian Teh di Stadium Malawati, di sini, malam tadi berkata, dia tidak mahu mengulas hal peribadi, isteri dan anak-anaknya yang boleh menimbulkan persepsi dan mengaibkan mereka.

"Saya tidak mahu bercakap hal isteri saya dan buka aib sesiapa. Saya ke mahkamah untuk menegakkan hukum-hakam agama islam," katanya.

Namun, di sebalik kemelut itu, Farid bersyukur kerana karier lakonannya tetap menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Farid dan Diana hadir ke mahkamah berkenaan bagi memaklumkan mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 11:05 PM