Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pengendali akaun @filem_matkilau membalas hantaran dimuat naik pelakon Datuk Adi Putra di Instagram.

Ia susulan hantaran dimuat naik pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu seolah-olah menyindir pihak penerbitan iaitu Studio Kembara yang sukar dihubungi.

"Assalamualaikum Dato Hj Adi Putra. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Pihak Studio Kembara sudah ambil maklum berkenaan mesej ini. Kami panjangkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya. Terima Dato Hj Adi Putra," tulisnya.

Meninjau di ruangan komen Instagram Studio Kembara @studiokembara , kebanyakan pengguna laman sosial itu mahukan mereka menjawab segera apa yang sudah dibangkitkan Adi.

Dalam masa sama, timbul pula persoalan dalam kalangan warganet apabila kebanyakan aktiviti dibuat pihak penerbitan tidak membabitkan pelakon filem berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Adi meminta menghubungi pihak penerbitan bagi menjawab sendiri hantaran yang dimuat naik itu.

Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali pula ketika dihubungi berkata, dia juga baru mengetahui hantaran Adi itu selepas disampaikan oleh rakannya pada pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 12:55 PM