Barisan artis dan penaja bergambar pada sidang media stylo fest Mega Raya di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Barisan artis dan penaja bergambar pada sidang media stylo fest Mega Raya di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, Didie Alias yang menganjurkan acara Stylofest Mega Raya 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 hingga 17 April ini mementingkan aspek keselamatan yang ketat sebagai langkah berhati-hati agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Didie, 51, ketika ditemui berkata, dia mengambil kira kejadian malang menimpa pelakon, Kamal Adli di Singapura, baru-baru ini, sekali gus menjadi iktibar supaya aspek keselamatan semua orang harus diutamakan.

"Sebagai penganjur, saya memang 'target' (sasar) ramai pengunjung akan hadir untuk membeli-belah dalam karnival ini berikutan ada 400 gerai jualan membabitkan selebriti tempatan, pelbagai acara menarik disediakan, termasuk cabutan bertuah.

"Saya sedar aspek keselamatan perlu diutamakan apabila membabitkan ramai orang. Jadi, untuk itu kami akan meletakkan mesin imbasan di beberapa tempat laluan utama yang menjadi pintu masuk.

"Pengunjung kena imbas dari awal mengikut laluan masuk mereka seperti di parkir, stesen pengangkutan awam dan hotel berhampiran kerana kami meletakkan mesin imbas itu di lima hingga enam tempat menuju pintu masuk utama," katanya yang turut menyasarkan tiga juta pengunjung.

Didie berkata, selain itu pengunjung juga perlu mengisi data peribadi mereka di laman sesawang disediakan penganjur dan imbas kod di media sosial Stylofest.

Katanya, khidmat puluhan pengawal keselamatan juga digunakan nanti.

"Apabila acara besar yang membabitkan ramai orang, persediaan untuk aspek keselamatan kena sangat teliti dan terperinci. Ini kerana, kita tidak mahu sesiapa saja yang datang cuba membawa senjata bahaya dan tajam. Jadi, alat pengesan sebagaimana di lapangan terbang juga perlu ada.

"Sebenarnya, saya sendiri sudah terbabit dalam penganjuran acara selama 10 tahun dan ke Singapura juga sudah banyak kali terbabit dengan karnival jualan. Tapi, kejadian menimpa Kamal itu memang tidak diduga kerana selama ini okey saja selebriti berniaga di sana," katanya.

Didie berkata, dia berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menyiasat punca kejadian itu dengan sebaiknya kerana sehingga kini masih tidak tahu sebab sebenar.

Dia turut mendoakan Kamal dan isteri, Uqasha dilindungi Allah serta segera sembuh.

Antara selebriti yang menyertai acara ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Shaheizy Sam, Adira, Nad Zainal, Ayda Jebat, Zul Huzaimy, Nubhan Ahmad, Datuk Fizz Fairuz, Fikry Ibrahim, Along Cham, Zalif Sidek dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 11:50 AM