Oleh Shakilawati Abd Rahman

Bukan mudah merealisasikan impian bergelar penyanyi, banyak onak duri terpaksa ditempuh. Namun penyanyi muda, Didi Astillah, 18, tidak sekalipun mengalah, sebaliknya yakin satu hari pasti ada rezeki tertulis untuknya.

Dia mula menyanyi ketika usia tiga tahun dan merakam album bersama kakaknya. Pada usia 12 tahun, dia menyertai program Idola Kecil 2008 tetapi tersingkir pada minggu keempat.

Dua tahun kemudian, dia sekali lagi memberanikan diri menyertai pencarian bakat Kamilah Bintang bersiaran menerusi Astro Ceria dan dipilih sebagai juara minggu ketiga. Hadiah RM10,000 disalurkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Perkasa.

Kini segala penat lelah dan kesabarannya berbaloi apabila dilamar syarikat rakaman Warner Music Malaysia, ­hujung tahun lalu. Menandatangani kontrak selama tiga tahun, langkah penyanyi remaja ini mengukuhkan kembara seninya makin yakin.

Kata Didi, pelbagai onak dan duri dilalui dan mencuba nasib tanpa kenal erti putus asa sepanjang lima tahun ini. Didi terus berusaha dan mengintai peluang, termasuk menjayakan persembahan acara anjuran pelbagai pihak.

"Dalam masa sama, saya berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Dari kecil saya berlakon banyak drama tetapi tak pernah melupakan impian bergelar penyanyi.

"Peluang menyertai Warner Music hadir apabila saya menghadiri uji bakat diadakan komposer terkenal, LY Baiduri. Ia hadir tanpa diduga, mungkin berkat kesabaran selama ini dan doa tidak putus-putus daripada keluarga," katanya.

Didi terharu kerana LY memperkenalkan dirinya kepada Warner Music Malaysia dan Indonesia. Katanya, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bersyukur dan gembiranya dia dengan peluang diberi.

Sebagai salam pengenalan, Didi tampil dengan album Didi Astillah mengetengahkan genre pop dance. Ia mengandungi enam lagu iaitu tiga ciptaan LY-I Love You So, La La La Aku Jatuh Cinta dan BFF Ku-manakala tiga lagi-Pujuaan Hatiku, Fikirkan Kamu serta Stop Mencintaiku-karya komposer seberang, Posan Tobing.

Didi berharap album sulungnya dapat diterima pelbagai peringkat usia pendengar. Katanya, lagu rancak sebati dengan dirinya sejak sekian lama, malah menjadi pilihannya tatkala menjayakan persembahan dalam mana-mana acara.

"Dalam menentukan hala tuju album ini, Warner Music tidak mengetepikan pandangan saya. Mereka tahu saya selesa dengan genre pop dance dan ia sesuai dengan usia saya.

"Saya berpuas hati dengan hasil album ini dan suka semua lagu dimuatkan, lebih-lebih lagi Pujaan Hatiku kerana pada saya ia mesra telinga.

"Lagu Fikirkan Kamu menjadi single pertama dan maklum balas pendengar terhadap lagu ini sangat memberangsangkan. Klip video lagu ini boleh ditonton di YouTube," katanya.

Didi akui kalangan pendengar lagunya bukan hanya golongan remaja tetapi juga dewasa dan ber­usia. Katanya, ramai remaja suka lagu Fikirkan Kamu manakala I Love You So menjadi pilihan pendengar dewasa.

"Perkembangan positif itu permulaan baik buat saya, sekali gus membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus melangkah dalam bidang ini.

"Buat masa ini, saya juga berehat seketika dari dunia lakonan kerana mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya nyanyian.

"Saya turut membantu urusan promosi dan tidak menyerahkan segala-galanya kepada syarikat rakaman. Selain menghadiri sesi temuabual dan fotografi bersama media, saya menguar-uarkan lagu dalam album di laman sosial, termasuk Instagram dan Twitter," katanya.

Didi sedar, sebagai penyanyi tidak boleh bergantung kepada Warner Music semata-mata. Malah, menjadi tanggungjawabnya untuk sama-sama turun padang.

"Untuk masuk bidang ini bukan mudah, jadi saya tidak boleh ambil mudah segala urusan. Saya mahu pergi jauh dan kena berusaha keras.

"Peluang sebegini (merakam album) bukan datang selalu dan saya perlu bersungguh-sungguh mempromosi album," katanya yang akan menyambung pengajian tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:02 AM