Natasha Hudson bersama suaminya.
Natasha Hudson bersama suaminya.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon, Natasha Hudson, 41, mahu menimang anak menerusi perkahwinan kelimanya dengan Muhammad Haris Jasmin, namun perlu memastikan kewangannya kukuh sebelum merancang keluarga.

Natasha berkata, suaminya juga tidak tergesa-gesa mahukan anak apatah lagi rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran anak menerusi perkahwinan terdahulu.

"Kami ada berbincang dan saya selalu usik suami, tetapi kami tidak merancang. Kami tidak mahu pada awal perkahwinan sebab fokus kepada kestabilan keluarga, maknanya kewangan kena stabil dulu.

"Jadi, saya beritahu suami, mungkin pada tahun kedua. Tetapi, tidak boleh terlalu lambat sebab usia semakin bertambah. Suami pula tak kisah. Jika tiada pun, tidak mengapa. Namun, jika ada sudah tentu kami bersyukur," katanya.

Natasha berkata, mereka sudah ada tiga 'anak ekspres' hasil perkahwinan terdahulunya dan suaminya gembira dengan anak-anak.

"Saya tahu siapa yang tak mahu zuriat sendiri, insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Natasha yang kini tinggal di Langkawi sukakan suasana tenteram dan aman damai di sana berbanding di sini.

"Apabila memandu di Kuala Lumpur, saya susah nak terima keadaan sesak di sini. Langkawi tempat kebahagiaan di mana saya membina banyak benda seperti perniagaan memanah.

"Jadi, Langkawi, bak kata orang satu kesembuhan buat saya. Masa muda dulu fikir mengapa orang tua suka berhijrah pulang ke kampung, macam itulah yang saya rasakan sekarang.

"Malah, suami sukar nak terima keadaan sesak di ibu kota, memandangkan sudah menetap selama 10 tahun di Langkawi. Dia tidak boleh menerima kehidupan di bandar, walaupun keluarga menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor.

"Bila pulang ke Bandar Baru Bangi, suami duduk rumah saja, tak mahu keluar. Mungkin sudah selesa dengan ketenangan hidup di luar bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 3:40 PM