NATASHA Hudson
NATASHA Hudson
Ramlah Zainal


“TIADA siapa pun dalam dunia ini mahukan perceraian. Bagaimanapun, kita tidak mampu menolak ketentuan Allah,” kata pelakon berwajah kacukan Melayu-Australia, Natasha Hudson, 37, mengenai kegagalan rumah tangganya buat kali keempat, baru-baru ini.

Natasha berkata, dia tiada niat langsung untuk menjaja kisah perceraian kali keempatnya itu.

“Saya berkahwin dan bercerai empat kali kerana mencari kebahagiaan yang diimpikan dalam perkahwinan.

Namun, saya masih gagal bertemu bahagia yang diimpikan setiap wanita yang berkahwin kerana Allah ada perancangan lebih baik buat saya dan anak ,” katanya kepada RAP.

Selepas bercerai dengan ahli perniagaan, Noor Nashriq Sekanor, baru-baru ini, sudah sampai masanya Natasha meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga anak yang masih kecil.

“Saya mahu meletakkan kisah duka perceraian di tepi dulu. Air mata juga sudah kering kerana menangisi apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan perceraian kali ini adalah pengajaran terbesar dalam hidup,” katanya.

Natasha berkahwin dengan ahli perniagaan terbabit pada 7 Disember tahun lalu dan bercerai talak satu selepas sembilan bulan berkahwin.

NATASHA bersama tiga anaknya.
NATASHA bersama tiga anaknya.

Mengenai penerimaan keluarga pula, kata Natasha, mereka sangat bersyukur apabila kemelut rumah tangganya sudah berakhir.

“Saya sangat menderita kerana penderaan dari segi emosi. Hati saya juga tidak tenang sepanjang tempoh perkahwinan kami.

“Apabila saya menderita, anak turut sama merasai penderitaan itu kerana kami terpaksa berjauhan. Sepatutnya, saya sudah menemui kebahagiaan yang diimpikan pada perkahwinan keempat ini tapi ternyata ia hanyalah khayalan,” katanya.

Ditanya kenapa dia menunggu sembilan bulan untuk bercerai, kata Natasha, pada mulanya dia lebih banyak mengalah dan berusaha bertahan dalam perkahwinan itu.

“Saya bukannya hipokrit untuk terus bertahan dalam perkahwinan yang toksik serta bermasalah ini. Oleh itu, saya putuskan untuk bercerai dan ia juga berjaya diselesaikan secara baik di mahkamah,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti, Natasha berkata, buat masa ini dia belum terfikir lagi kerana bimbang dikecewakan lagi.

“Sampai masanya untuk saya mencintai diri sendiri dulu dan menstabilkan emosi selepas perceraian yang memeritkan itu. Fokus saya ialah kembali bekerja untuk membesarkan anak yang masih kecil demi masa depan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006, tetapi hanya bertahan selama empat bulan.

Selepas bercerai dengan Mohd Faiz, Natasha berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 dan bertahan selama dua tahun serta dikurniakan cahaya mata perempuan, Neesa Helena yang kini berusia 11 tahun.

Menyusul selepas itu, Natasha berkahwin dengan Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Naeema Khalila, 6, dan Faatimah, 4.

‘Comeback’ di layar perak

Sekian lama menyepi, pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2014 dalam filem Lemak Kampung Santan ini merancang kembali merancakkan bidang lakonan.

“Selepas berkahwin, bekas suami tidak mahu saya terbabit dalam bidang seni dan fokus kepada rumah tangga. Kini, saya bebas untuk melakukan apa yang disukai termasuk bidang seni,” katanya.

Natasha berkata, dia memang sangat merindui bidang lakonan yang sudah ditinggalkan selepas berkahwin.

“Alhamdulillah, saya sudah mula menerima tawaran berlakon ketika ini. Saya juga memilih watak yang menarik dan sesuai dengan penampilan berhijab ini.

“Terbaharu, saya turut dilamar syarikat produksi filem dari Indonesia dan bakal memulakan penggambaran pada akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bidang perniagaan tetap menjadi keutamaannya sejak dulu.

“Kini, saya kembali fokus pada perniagaan produk Essentials Oil yang sudah diceburi sejak beberapa tahun lalu. Saya juga banyak ke luar negara untuk menjayakan produk ini dan baru kembali dari Amerika Syarikat.

“Selain itu, saya turut mempromosikan produk itu di Instagram dan saluran sendiri. Saya juga aktif dalam sukan berkuda dan mempromosikan gaya hidup dan pemakanan sihat kepada pengikut laman sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 5:30 AM