GANDINGAN Luqman dan Tish dalam lagu berentak pop moden.
GANDINGAN Luqman dan Tish dalam lagu berentak pop moden.
Ridzuan Abdul Rahman


BUAT julung kalinya YouTuber terkenal, Luqman Podolski bergandingan dengan pendatang baharu kelahiran Singapura, Tish Errda bagi menghasilkan single terbaharu Mungkin Aku Tak Penting?

Lagu berentak pop moden hasil ciptaan Luqman bersama-sama Tish turut mendapat khidmat profesional daripada penerbit muzik, Wongie7 dan pengadun muzik, Ian Koren. Ia diterbitkan Black Hat Cat Records dan Warner Music Malaysia.

Perjalanan seni Luqman atau nama sebenarnya Luqmanul Haqim Kamaruddin, 24, bermula sejak 2014 ketika berusia 16 tahun.

Niat sekadar suka-suka menghasilkan kandungan komedi berbentuk parodi yang padat dengan maksud tersirat mengenai perihal masa kini lalu dimuat naik ke media sosial, lama-kelamaan video yang dihasilkannya meraih banyak perhatian sehingga menjadi tular di media sosial dengan jumlah tontonan yang tinggi.

Luqman kemudian dihujani pelbagai tawaran menghiasi iklan jenama tempatan dan antarabangsa, namun pada 2019, Black Hat Cat Records menawarkan kontrak nyanyian.

Single sulungnya berjudul Sorang membuka mata ramai pihak membuktikan Luqman juga berbakat sebagai penyanyi dan penghibur serba boleh.

Menurut Luqman lagu Mungkin Aku Tak Penting? menceritakan mengenai sebuah perhubungan yang tiada kepastian, apabila masing-masing tidak berkomunikasi secara telus dan hanya berandaian sendiri, pertanyaan itu bermain-main di benak fikiran sehingga terkeliru dengan arah tuju hubungan.

Sebelum akhirnya mereka mengambil keputusan berpisah membawa haluan masing-masing.

Lagu dalam genre pop ini ternyata kedengaran moden dengan alunan petikan gitar yang menambah 'mood' melankolik seakan-akan bicara dari isi hati yang terbuku, dipadankan dengan suara merdu Tish mewakili suara hati wanita yang menambah penceritaan dalam lagu ini.

Konsep muzik video (MV) lebih kepada jalan cerita anak-anak muda masa kini, mengenai sepasang kekasih yang berhubungan, tetapi masih keliru dengan perasaan pasangan dan masing-masing tertanya-tanya soalan sama, Mungkin Aku Tak Penting?

Lagu Mungkin Aku Tak Penting? boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di laman YouTube saluran Black Hat Cat Records.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 6:48 AM