TUJU. FOTO Aziah Azmee
TUJU. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi rap, Tuju, 26, mendedahkan wujud salah faham dengan syarikat rakaman berhubung isu kesilapan teknikal pada lagu dan kulit album terbaharunya berjudul Tuju Untuk Kamu 18/19.

Tuju yang juga anggota kumpulan K-Clique berkata, kesilapan itu juga sudah selesaikan secara baik dan harmoni.

"Pada awalnya memang ada kesilapan semasa pelancaran album ini pada 31 Disember lalu, tapi semuanya sudah diselesaikan dengan teratur. Ada sedikit salah faham antara kami dan pasukan yang menguruskan.

"Kesilapan ini terjadi mungkin sebab kami semua terlalu teruja untuk lancarkan album ini, ditambah pula semua orang sedang bercuti tahun baharu. Alhamdulillah mereka cuba selesaikan sehabis baik untuk memuaskan hati semua orang.

"Walaupun isu masalah lagu 'glicth' (tersangkut) masih belum selesai di platform digital, tapi saya harap masalah itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Khamis lalu, Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azree Shah Awang Zamri meluahkan rasa kecewa apabila hasil kerja kerasnya selama dua tahun menyiapkan album itu tidak seperti yang diharapkan.

Ditanya mengenai kulit album terbabit yang dilihat terlalu ringkas dan tidak menarik, Tuju berkata, dia mempunyai alasan tersendiri mengenai rekaan itu.

"Kulit album itu saya sendiri cipta menggunakan telefon bimbit dan saya sunting menggunakan aplikasi Canva. Memang begitu saja rupa bentuknya, tanpa sebarang gambar atau imej, hanya putih.

"Sebelum ini dah macam-macam gambar saya guna untuk buat kulit album, jadi kali ini saya ambil keputusan untuk ringankan rekaan kulit album itu.

"Bagi saya, isi (lagu) dalam album ini sudah berat. Selepas berbincang dengan pasukan, kami tak mahu rekaan kulit album yang terlalu rumit dan saya cipta seringkas ini," katanya.

Album ini mengandungi tujuh lagu dan boleh didengar di semua platform digital bermula 31 Disember lalu.

Dua lagu berjudul Jiwa Pusing dan Khayalan boleh ditonton di saluran YouTube Black Hat Cat Records.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 4:20 PM