GSC rancang bertemu peminat sempena kelahiran album terbaru mereka.
GSC rancang bertemu peminat sempena kelahiran album terbaru mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


TAHUN baharu dengan album baharu. Perkembangan ini menyaksikan kumpulan ska popular, Gerhana Skacinta kini tampil dengan single berjudul Muzik Tanpa Sempadan.

Ia adalah kesinambungan usaha Edy J (penyanyi, gitar), Widy (penyanyi), Bakri (dram), Fairus (keyboard), Skaloot (bass), Farin (seksofon), Nadzmi (seksofon) dan Zul (trumpet) yang bakal hadir dengan album studio keempat selepas ini.

Edy J berkata, Muzik Tanpa Sempadan dipetik dari album terbaharu mereka yang bakal menemui peminat selepas Aidilfitri nanti.

"Gerhana Skacinta sebenarnya ingin menyampaikan mesej yang agak serius iaitu menentang diskriminasi atau sempadan dalam muzik.

"Tidak kira apa jenis muzik yang anda gemari atau bawakan, sepatutnya sikap hormat menghormati di antara satu sama lain haruslah sentiasa diterapkan. Tiada istilah satu jenis muzik adalah lebih baik atau mulia dari yang lain. Semuanya adalah sama tujuan iaitu untuk memberi hiburan kepada peminat masing-masing," katanya.

Mengenali mereka, Gerhana Skacinta sememangnya dikenali sebagai kumpulan yang mengetengahkan tema kasih sayang, kemanusiaan dan kritik sosial menerusi lagu-lagu mereka.

Muzik video lagu berkenaan diarahkan Tengku Sharmizi (Darkwhite Creative Solutions) iaitu pengarah sama yang mengarahkan single Gerhana Skacinta sebelum ini iaitu Ali Baba Ska.

Muzik Tanpa Sempadan dan juga album terbaru Gerhana Skacinta yang bakal terbit selepas Aidilfitri nanti adalah hasil kerjasama kumpulan ini dengan Todak Music.

Tahun lalu Gerhana Skacinta berjaya mengeluarkan single berjudul Ali Baba Ska dengan kerjasama Life Records Malaysia.

Malah, video muzik lagu ini yang dimuatnaik menerusi saluran YouTube Life Records Malaysia, berjaya mencatat lebih sejuta tontonan selepas enam bulan dimuat naik.

Memandangkan kita bakal memasuki peralihan kepada endemik, Gerhana Skacinta juga merancang untuk mengadakan jelajah promosi album sebaik sahaja ia dilancarkan nanti.

"Dah lama kami tak keluar untuk bertemu peminat yang sentiasa menyokong dan inilah masa terbaik untuk melakukannya.

"Kami percaya mereka juga ternanti-nanti kemunculan kami ditempat mereka nanti," kata Widy pula.

Single Muzik Tanpa Sempadan kini boleh ditonton di YouTube dan juga boleh dinikmati di semua platform digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 6:45 AM