CIPTA lagu sendiri Sabar sejak 4 tahun lalu sehingga ada keyakinan untuk dilancarkan hari ini.
CIPTA lagu sendiri Sabar sejak 4 tahun lalu sehingga ada keyakinan untuk dilancarkan hari ini.
Najiy Jefri

PENYANYI popular, Black Hanifah menjadi antara penyanyi lelaki yang memiliki keunikan dan kualiti vokal tersendiri.

Kejayaan yang dikecapi Black selepas menjuarai pertandingan Mentor musim ketiga termasuk dalam beberapa siri Anugerah Juara Lagu meletakkan dia dalam kelas tersendiri.

Berilah apa saja lagu, Black tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat muzik. Malah, pujian wajar diberikan atas setiap usaha dan peningkatan ditunjukkan dalam kerjaya nyanyian beliau.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu 'makanan' seperti kebanyakan single terdahulu ketika di awal kemunculan, terbaharu Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah bakal melancarkan lagu berjudul Sabar, hari ini.

Lagu berentak balada Melayu ini yang juga ciptaannya mengembalikan Black kepada identiti muzik asal.

Apa yang menarik, lagu itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu dan baru kali ini Black mempunyai keyakinan untuk melancarkannya sekali gus mengembalikan identiti muzik dan kegemilangan kerjaya nyanyiannya.

"Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri muzik, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.

"Ketika itu saya tidak yakin untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Kebanyakannya bertanya kenapa saya tidak rakamkan lagu ini?

PERNAH menjadi penyanyi kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009.
PERNAH menjadi penyanyi kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009.

"Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri muzik pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini," katanya.

Black yang pernah menjadi penyanyi kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009 mengakui Sabar adalah lagu yang cukup kena dengan jiwanya.

"Apa yang boleh saya katakan lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang 'feel' sepenuhnya.

"Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman awal saya dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik," katanya.

Berkongsi lanjut, Black berkata, lagu itu dirakam dan disiapkan sepenuhnya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Empat tahun lalu lagu ini sangat 'raw'. Apabila ada keyakinan, saya terus siapkan. Malah, gubahan lagu ini juga sama seperti apa yang saya bayangkan masa di awal dulu," katanya.

Menurut Black, Sabar mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui sama ada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya.

"Sewaktu menulis lagu ini diakui saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.

"Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

"Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, siapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing," katanya.

Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer, hari ini.

Serentak dengan itu, video muzik lirik Sabar juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:00 AM