DARI kiri: Mirurayes, Fifi, Faeiz Shaffin, Julian Cheah, Tyty Nazmin, Zati Nizam dan Don Hoe.
DARI kiri: Mirurayes, Fifi, Faeiz Shaffin, Julian Cheah, Tyty Nazmin, Zati Nizam dan Don Hoe.
Syafil Syazwan Jefri


MEMPERTARUHKAN barisan pelakon yang tidak dikenali bukanlah satu langkah mudah, namun keputusan itu dibuat dengan sangat berani oleh penerbit, Julian Cheah apabila muncul dengan idea untuk menerbitkan filem seram berjudul Eidolon : Bayangan Dendam.

Julian yang pernah bekerja untuk beberapa karya bertaraf antarabangsa berkata, populariti seseorang pelakon tidak semestinya akan membawa kejayaan buat sesuatu filem.

"Ya, saya akui, kami tidak membariskan nama-nama besar dalam filem ini. Bagi saya, nama besar tak semestinya akan membawa pulangan atau keuntungan.

"Sebelum ini, saya pernah terbitkan filem dan bariskan nama besar sebagai pelakon, namun masih mengalami kerugian," katanya.

Menjadikan filem antarabangsa, Lights Out sebagai sumber inspirasi, Julian yang turut berlakon dalam filem itu melihat hantu yang digambarkan dalam bentuk bayangan punya impak tersendiri.

"Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus selepas saya menonton filem Lights Out, yang mana hantunya adalah bentuk bayangan. Jadi, saya menjadikan filem itu sebagai inspirasi," katanya.

Dalam filem ini, Julian turut membawa watak utama sebagai Mark.

PENGARAH, Don Hoe (kiri) dan penerbit, Julian Cheah (kanan).
PENGARAH, Don Hoe (kiri) dan penerbit, Julian Cheah (kanan).

"Watak ini tidak menarik buat saya kerana tak ada banyak skop. Saya lihat watak Mark itu sebagai satu yang membosankan. Namun, jika ditanya kenapa saya menerima untuk membawakan watak itu, saya ada jawapan sendiiri.

"Kalau filem ini menjadi filem yang hit, saya akan rasa sangat rugi kerana tidak menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Sementara itu, pengarahnya, Don Hoe berkata, dia menambah elemen kejutan atau 'jump scare' bagi menyuntik elemen seram.

"Selepas membaca skrip, saya membuat beberapa perubahan. Saya kena masukkan beberapa bahagian 'jump scare' bagi menambahkan rasa seram dalam filem ini," katanya.

Menjalani penggambaran di Pulau Pinang, selain Julian, Eidolon: Bayangan Dendam turut dibintangi Chazynash, Tyty Nazmin, Faeiz Shaffin, Fifi, Cik My, Mirurayes dan ramai lagi.

Eidolon: Bayangan Dendam yang akan ditayangkan bermula 9 Mac ini mengisahkan mengenai percutian Mark, Nazmin, Mira dan Faiz yang berakhir dengan tragedi apabila mereka terperangkap dalam satu kisah misteri dan menyeramkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 6:20 AM