Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung isu tidak mahu 'melepaskan' isterinya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Sejurus selepas prosiding tamat, Syamsul ketika diasak pertanyaan wartawan yang menunggu di luar. Malah pengarah itu tidak mengendahkan apa saja pertanyaan dan terus meluru ke lif bersama peguamnya, Roshdan Sujak.

Sebaliknya Syamsul hanya menggelengkan kepala apabila ditanya sebab tidak menceraikan isterinya dan dakwaan memukul Puteri Sarah dua tahun lalu.

Malah ketika beredar daripada kamar mahkamah, hanya menunjukkan isyarat tangan tanda 'aman' dan 'Allah Yang Satu'.

Sementara itu, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan mereka.

"Masih ada sinar untuk pasangan ini… pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini," katanya.

Terdahulu Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Sebelum ini pada 16 Januari lalu Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdahulu Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Berita berkaitan:

Mentua beri sokongan, jadi saksi kes Puteri Sarah

Puteri Sarah dakwa pernah dipukul Syamsul

'Saya sudah lama reda' - Puteri Sarah [METROTV]

Mahkamah arah Puteri Sarah, Syamsul lantik JKP [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 11:52 AM