Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti sensasi, Puteri Sarah Liyana dan suaminya, Syamsul Yusof diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Pada prosiding yang berlangsung jam 9.45 pagi itu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan proses demikian dijalankan selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua belah pihak.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, diwakili peguam syarie Roshdan Sujak.

Sebelum ini pada 16 Januari lalu Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Menerusi dokumen yang diterima, punca utama tuntutan cerai dibuat kerana sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

SYAMSUL Yusof (kiri) dan Puteri Sarah Liyana diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka. FOTO Aswadi Alias
SYAMSUL Yusof (kiri) dan Puteri Sarah Liyana diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka. FOTO Aswadi Alias

"Tambahan pula, saya bersama anak-anak tidak lagi tinggal bersama suami, sama ada di rumah mentua mahupun di rumah kelamin. Hal ini berikutan akibat tekanan dan gangguan yang berpunca daripada pihak ketiga sehingga telah lama tidak pulang ke rumah.

"Saya percaya oleh kerana tiadanya persefahaman antara kedua-dua pihak maka saya percaya jika diteruskan (perkahwinan) mungkin akan mendatangkan lebih kemudaratan kepada kedua-dua pihak, khususnya diri saya, emosi saya serta anak-anak" katanya menurut dokumen itu.

Terdahulu Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Berita berkaitan:

Mentua beri sokongan, jadi saksi kes Puteri Sarah

Puteri Sarah dakwa pernah dipukul Syamsul

'Saya sudah lama reda' - Puteri Sarah [METROTV]

Syamsul Yusof hanya geleng kepala

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 11:00 AM