MERIAH Majlis Persandingan Fuad dan Tom di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.
MERIAH Majlis Persandingan Fuad dan Tom di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kuala Lumpur: Pasangan penyanyi, Fuad Rahman dan Tom diraikan dalam majlis resepsi yang ditaja di acara Starvendors Foodstival X Nusantara Music Festival, mencecah nilai tajaan RM1 juta.

Berlangsung di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis serta peminat yang meraikan hari bahagia mereka.

Fuad yang juga penyanyi dari Singapura mengucapkan terima kasih kepada artis versatil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif StarVendors, Ifa Raziah kerana meraikan kedua-dua mereka dalam acara penuh meriah itu.

"Terima kasih Kak Ifa Raziah dan pasukan kerana meraikan majlis perkahwinan kami ini. Saya tak sangka kerana niatnya, kami ingin adakan majlis sederhana sahaja. Syukur, Alhamdulillah," katanya.

Berkongsi mengenai kisah cinta mereka yang berputik semula ketika kedua-duanya menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Fuad meluahkan bahawa dia ingin bersama Tom sehingga akhir hayat.

"Sejak GV9 juga, saya dah beritahu Tom bahawa saya ingin bersamanya sampai keluar uban saya, sampai akhir hayat. Saya memang sangat sayangkan dia.

"Berjumpa keluarga kedua-dua belah pihak, semuanya terima dengan baik dan gembira apabila diberitahu bahawa kami ingin mendirikan rumah tangga," katanya.

Pasangan Fuad dan Tom diijabkabulkan pada 26 Februari lalu dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Batam, Indonesia.

Di majlis itu, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin daripada Fuad.

Di majlis resepsi yang berlangsung hari ini, kedua-dua mempelai turut bersanding di pentas utama dengan hiasan cukup mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 4:25 PM