MENAMPILKAN barisan pelakon bernama besar.
MENAMPILKAN barisan pelakon bernama besar.
Georgie Joseph


KARYA komedi seram sememangnya sentiasa cukup kuat tarikannya dalam kalangan penonton tempatan terutama jika plot ceritanya begitu dekat dengan hati masyarakat, impaknya akan lebih menjadi.

Meskipun genre sebegitu kerap menjadi taruhan pengarah tempatan, jelas ia tetap mampu menjentik penonton. Bezanya, pendekatan bagaimana serta kelainan apa cuba ditonjolkan pengarah.

Sebuah lagi karya baharu berjudul Jangan Takut: Kau Takut..Aku Pun Takut bakal menjengah kaca TV pada 8 Julai ini. Ditayangkan di saluran Astro First, filem terbabit mendapat sentuhan pengarah Nazir Jamaluddin.

Apa yang pasti, pendekatan digunakan untuk disuntik dalam filem terbabit masih berunsurkan hiburan ringan.

Penampilan pelakon seperti Mark Adam, Tasha Shilla, Shuk Sahar, Hanafi Su, Delimawati, Ropie, Jasmin Hamid, Bell Ngasri, dan ramai lagi menjadi kekuatan utama.

Menurut penerbit eksekutifnya, Fuad Rodzi, filem itu tidak lain diharapkan mampu meninggalkan mesej tersendiri.

Dia yakin, persembahan barisan pelakon hebat itu tidak perlu dipertikai lagi.

"Ini adalah filem komedi seram yang sarat dengan nilai murni untuk diambil sebagai teladan. Malah, antara daya tarikan filem ini, ia bukan sahaja menonjolkan lakonan oleh pelakon terkenal, tetapi turut menampilkan subplot dan tiga cerita berbeza.

"Memandangkan pihak penerbit, kru dan barisan pelakon sudah memberikan yang terbaik, kami harap penonton akan menyukai filem ini," katanya.

Pada awalnya, filem terbabit dirancang akan ditayangkan di panggung wayang. Bagaimanapun, niat itu terbantut lantaran situasi pandemik yang masih tidak mengizinkan.

"Filem ini pada awalnya dirancang untuk tayangan di pawagam. Namun, lanjutan daripada situasi semasa, pihak kami membuat keputusan untuk tidak menangguhkan tayangannya.

"Oleh itu, kami memilih platform Astro First untuk mempersembahkan karya ini kepada masyarakat," katanya.

Istimewanya, filem yang membariskan pelakon dan pelawak terkenal tanah air ini kali pertama menyaksikan gandingan trio oleh Mark Adam, Amerul Affendi dan Syuk Sahar sebagai teraju utama dalam sebuah filem komedi seram.

Amerul sendiri tidak dinafikan sudah membuktikan kemampuannya dalam membawa pelbagai watak. Antara watak yang paling diingati adalah Mat Yam menerusi filem pecah panggung, Polis Evo.

TASHA Shila turut membintangi Jangan Takut: Kau Takut..Aku Pun Takut.
TASHA Shila turut membintangi Jangan Takut: Kau Takut..Aku Pun Takut.

Kali ini dia mempertaruhkan sekali lagi bakatnya dengan bergandingan bersama dua pelawak terbabit. Shuk dan Mark sememangnya terkenal dengan 'punchline' dan jenaka yang bersahaja.

Turut menjayakannya adalah Melati Zero, Azlee Senario, Ucop Cecupak, Aiyuni Hashim, Kamarul Yusof, Donna Muslim dan Along Eyzendy. Setiap watak menampilkan karakter dan gelagat tersendiri yang pasti akan mencuit hati penonton.

Filem ini mengisahkan tiga sahabat karib Sarip, Dol dan Leman yang sangat nakal dan sering mencuri serta menyakat penduduk kampung. Sikap mereka membuatkan keluarga masing-masing terpaksa menanggung malu.

Selepas gagal mencuri di rumah Tok Bomoh, mereka dihalau keluarga masing-masing. Kemudian Sarip, Dol dan Leman nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:12 AM