KONSERT Melly Goeslaw di KLCC menjadi saksi kehebatan penghibur legenda Indonesia.
KONSERT Melly Goeslaw di KLCC menjadi saksi kehebatan penghibur legenda Indonesia.
Ridzuan Abdul Rahman


TEPAT jam 9 malam loceng dibunyikan menandakan Kelas Muzik Melly Goeslaw akan bermula. Saat ini seluruh Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bergema dengan sorakan peminat yang tidak sabar menantikan persembahan penyanyi hebat itu.

Inilah kuasa dan kehebatan penyanyi dari Indonesia itu yang mencipta populariti pada pertengahan 1990-an bersama kumpulan Potret dan kemudian bergerak solo seterusnya bertahan sehingga kini.

Sekitar 2,800 penonton hadir dengan hampir semuanya berpakaian sekolah mengikut tema yang ditetapkan semata-mata untuk kembali menggamit memori silam terindah yang pernah dilalui suatu ketika dulu.

Pada usia 49 tahun, Melly yang boleh dikategorikan sebagai artis legenda Indonesia menghiburkan peminat dengan caranya yang meyakinkan dan tersendiri.

Sebanyak 27 buah lagu dengan durasi keseluruhan tiga jam berlalu tanpa sedar. Dalam menikmati lagu-lagu indah dengan lirik puitis, mereka hanyut dengan kenangan silam yang masih basah dalam kotak fikiran.

Konsert Ada Apa Dengan Melly? berlangsung dalam suasana santai namun berjaya mengikat penonton duduk mengikutinya hingga detik kemuncak pada persembahan Jumaat dan Sabtu lalu.

Melly dengan nama sebenar Meliana Cessy Goeslaw yang juga komposer turut sinonim dengan gelaran ratu runut bunyi filem Indonesia antaranya Ada Apa Dengan Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih.

TUNKU Azizah dan Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli menonton konsert berkenaan.
TUNKU Azizah dan Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli menonton konsert berkenaan.

Tidak hairanlah apabila dia tidak ketinggalan menyanyikan lagu-lagu popular filem yang amat dekat dengan peminat di Malaysia pada malam itu.

Lagu-lagu ciptaannya ini pernah dipopularkan penyanyi lain, antaranya Datuk Seri Rossa, Bunga Citra Lestari, Agnes Monica dan Kris Dayanti.

Terasa bertuah menjadi Melly kerana konsertnya ini turut mendapat sokongan selebriti Malaysia antaranya

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy, pasangan suami isteri Fattah Amin dan Fazura, pasangan kekasih Syafiq Kyle dan Mimi Lana, Izara Aishah, Syamel, Ernie Zakri, Misha Omar dan ramai lagi turut hadir mengikut tema yang ditetapkan.

Bahkan ia juga dihadiri tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang turun mencemar duli menonton.

Lebih menarik, Tengku Permaisuri Norashikin juga 'sporting' hadir dengan berpakaian sekolah.

Tidak ketinggalan Melly mendapat sokongan rakan-rakan artis Indonesia yang turun menyaksikan konsertnya antaranya Rossa, Raffi Ahmad, Mayang Sari, Chintami Atmanegara dan Lis Dahlia serta peminat-peminat dari Indonesia yang sanggup mengeluarkan kos tiket penerbangan menonton konsert di Kuala Lumpur ini.

Lagu-lagu yang dinyanyikan pada malam itu ialah Ingin Mencintai dan Dicintai, Tentang Dia, Pujaanku, Bimbang, Suara Hati Seorang Kekasih, Pencinta Wanita, Berdua Lebih Baik, Ketika Cinta Bertasbih dan Ayat-Ayat Cinta.

PEMINAT terhibur dengan persembahan yang disajikan.
PEMINAT terhibur dengan persembahan yang disajikan.

Lagu-lagu lain yang dinyanyikan ialah Menghitung Hari, Tegar, I'm, Sorry Goodbye. Jera. Gantung, Jika, Cinta, Denting, My Heart, Cinta Sejati, Tentang Seseorang, Ada Apa Dengan Cinta, Ratusan Purnama, Salah, Bagaikan Langit, Ku Bahagia, Tak Tahan Lagi, Lets Dance dan Hanya Memuji.

Menerusi dialog yang penuh canda dan santai semasa persembahannya, Melly menitipkan mesej bermakna berkenaan muzik.

"Saya berdoa semoga apa yang saya katakan dalam persembahan ini boleh difahami kerana bahasa kita sedikit berbeza.

"Namun, tidak mengapa kerana bagi saya seni itu adalah sesuatu yang tidak mengenal apa pun. Sama seperti anda mendengar muzik dari Korea Selatan yang bahasanya tidak difahami, tetapi masih mampu menikmatinya dengan baik," katanya.

Setiap lagu-lagu nyanyian Melly mempunyai kisah-kisah tersendiri antaranya lagu yang dihasilkan untuk Rossa dan lain-lain penyanyi. Teruk juga Rossa 'dibahan' malam itu.

Melly turut melakukan persembahan tribute untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Bunyi Gitar.

Jarang sekali perkara sama dilakukan oleh artis-artis tanah air tetapi Melly memilihnya kerana sangat meminati P Ramlee dan mengakui karya-karya Seniman Agung itu sebagai genius dan merentas zaman.

Sisi lainnya selain menyerlah dengan imej unik, Melly sememangnya bijak mengatur kata dan menarik perhatian ramai untuk mendengar apa yang diperkatakan.

Menerusi konsert ini, dia memberikan frasa ayat-ayat cinta yang amat bermakna terhadap pasangan kekasih mahupun suami isteri.

Setiap kali dia menyampaikan ayat-ayat ini, peminat akan meluahkan kekaguman dan bertepuk tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:00 AM