MUAZ FITRI lebih dikenali penonton sebagai Hakim.
MUAZ FITRI lebih dikenali penonton sebagai Hakim.
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my


SEBUT saja nama Muaz Fitri, mungkin akan ramai tertanya-tanya siapa gerangan pelakon lelaki ini? Tapi, jika disebut pula watak Hakim dalam drama Takdir Yang Tertulis (TYT) mesti ada yang sakit hati.

Karekter Hakim itu agak 'jahat' kerana dibelenggu dendam dan bercita-cita tinggi. Namun, itu perjalanan kisah kerjaya seorang pelakon. Jika watak dilakonkan lemah, dikritik juga. Malah, apabila agak antagonis pula tentu diterjah dengan pelbagai kecaman.

Bagi Muaz atau nama sebenarnya, Muaz Aidil Fitri Maslan, 30, tidak mudah kanvas kerjaya seni lakonnya dilakar. Selepas lebih sedekad mencuba, baharu kini mendapat perhatian. Itupun dengan sisi karekter hitam.

"Saya tak nafikan, bakat lakonan mula dinilai pihak produksi selepas beraksi dengan beberapa watak antagonis. Sedangkan, banyak juga drama watak lelaki baik yang saya lakonkan, tapi tidak diingati.

"Apapun, ini namanya rezeki selepas melalui pengalaman sedih. Saya pernah tidak dibayar berlakon selepas projek siap dan ditawarkan bayaran rendah kerana nama tak dikenali.

WALAUPUN beliau banyak lakon karakter baik, namun watak antagonis dapat perhatian ramai.
WALAUPUN beliau banyak lakon karakter baik, namun watak antagonis dapat perhatian ramai.

"Namun, semua itu saya tak pernah simpan dalam hati kerana sedar ia proses kehidupan. Pengalaman dilalui itu banyak memberi pengajaran pada saya untuk lebih berhati-hati ketika berurusan," katanya.

Turut bersikap terbuka berkongsi secebis kisah peribadinya, Muaz sama sekali tidak berahsia mengenai hubungan cinta bersama kekasih yang juga pengurus kerjayanya, Qaseh Anita, 45.

Menurutnya, dia berasa sangat beruntung dipertemukan dengan wanita seperti Qaseh yang banyak pengalaman dalam bisnes. Malah katanya, Qaseh adalah individu yang menjadi tulang belakang pada kejayaannya kini.

"Hubungan cinta saya dengan Qaseh memang ikhlas, tapi tetap ada juga cakap-cakap kurang enak perlu saya hadap seperti dakwaan menumpang kemewahannya. Apatah lagi, sejak pandemik ini saya ada menjalankan beberapa perniagaan 'online'.

"Bagi mereka yang kenal kami dengan rapat, pasti tahu antara saya dan Qaseh lebih banyak memberi sokongan dan kata-kata semangat untuk lebih maju dalam perniagaan masing-masing.

TERBABIT bisnes, inisiatif Muaz untuk jana pendapatan kerana pandemik.
TERBABIT bisnes, inisiatif Muaz untuk jana pendapatan kerana pandemik.

"Saya akui dan tak nafikan Qaseh banyak membantu, tapi skop perniagaan kami berbeza. Dia (Qaseh) lebih fokus pada syarikat produksi dan pengurusan bakatnya. Manakala, saya pula menjalankan bisnes pakaian kurta dan produk minyak angin," katanya.

Menurut Muaz, pembabitannya dalam bisnes juga disebabkan situasi pandemik Covid-19 yang menular. Katanya, aktiviti penggambaran drama sudah beberapa kali diberhentikan seketika kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jika saya tak cuba berniaga, pendapatan mungkin terjejas lebih teruk dan bagaimana nak meneruskan hidup dalam keadaan getir ini. Apatah lagi, saya dapati ramai dalam kalangan penggiat seni dan pekerja industri yang terjejas pendapatan mereka.

"Saya pun merasai juga pendapatan terjejas itu, tapi tidak teruk sangat kerana ada bisnes yang dibuat biarpun proses jual beli agak perlahan. Namun, kuasa beli daripada pelanggan masih ada," katanya.

Selesa tidak mempedulikan kata-kata negatif orang terhadapnya, Muaz berkata, dia juga tidak membuang komen negatif diterimanya di Instagram terutama membabitkan hubungan cintanya dengan Qaseh.

CINTA ikhlas, Muaz akui Qaseh adalah tulang belakang utamanya.
CINTA ikhlas, Muaz akui Qaseh adalah tulang belakang utamanya.

Tak perlu pilih vaksin

Mengulas kerjaya lakonannya, Muaz berkata, dia ada dua drama yang tidak dapat memulakan penggambaran kerana PKP. Katanya, satu drama mengenai cinta berjudul Cinta Yang Tertangguh dan satu lagi drama aksi.

"Untuk kedua-dua drama ini, saya hanya sempat menghadiri sesi membaca skrip untuk watak dilakonkan. Namun, jadual penggambaran langsung tergendala akibat PKP.

"Sejujurnya, saya sangat berharap dugaan pandemik Covid-19 yang dilalui kit semua dan negara sekarang cepat berakhir. Saya mahu keluar bekerja dengan bebas seperti dulu. Saya rindukan saat lalu dan pasti ramai orang seperti saya.

"Jika ikutkan dah tidak terlarat dengan kehidupan berkurung ini. Sudah hampir dua tahun dan kita belum nampak tanda keadaan akan reda. Apapun, kita tiada pilihan selain terus berdoa," katanya.

Muaz yang sudah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama berkata, dia juga tidak memilih jenis vaksin. Katanya, dia yakin setiap vaksin itu fungsinya sama dan lebih penting kena ambil untuk pertahanan diri.

"Covid-19 ini musuh yang kita tak nampak. Jadi, mendapatkan vaksin itu penting dan kenapa hendak memilih? Saya tak faham apabila ada segelintir pihak memilih jenis vaksin tertentu.

"Apa yang kita kena faham ialah kesan tubuh selepas mendapatkan vaksin itu. Ini kerana, ada orang yang akan demam dan sakit-sakit sendi, tapi ada juga yang tidak mengalami apa-apa gejala sampingan," katanya.

Setakat ini, antara drama lain pernah dibintangi Muaz ialah Misiku Kuza, Baby Ana Milik Siapa, Dosa Semalam, Pesan Dari Hati, Cari Aku Di Syurga, Scammer dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:40 AM