Vokalis kumpulan Slank, Akhadi Wira Satriaji yang dikenali sebagai Kaka membuat persembahan bersama artis undangan, Ella pada Konsert 4 Dekad Slank. FOTO Aizuddin Saad
Vokalis kumpulan Slank, Akhadi Wira Satriaji yang dikenali sebagai Kaka membuat persembahan bersama artis undangan, Ella pada Konsert 4 Dekad Slank. FOTO Aizuddin Saad
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Kumpulan popular Indonesia, Slank berkongsi persefahaman serta sikap adil dan saksama sebagai kunci terus bertahan sebagai band sungguhpun sudah 39 tahun berkarier sebagai anak seni.

Bimbim selaku pemain dram berkongsi, penting bagi setiap anggota kumpulan untuk menyimpan impian dan cita-cita yang sama.

"Apa resipi kami bertahan selama 39 tahun? Sebuah kelompok band itu harus punya mimpi yang sama. Perlu adil dan memberi sama rata.

"Dan kelompok yang sama itu juga harus berkarya. Hal itu yang membuatkan kita bertahan sehingga ke hari ini," katanya.

Slank berkata demikian ketika ditemui sebelum Konsert 4 Dekad Slank yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Ditebak mengenai cabaran atau ujian yang sepanjang 39 tahun bersama, Bimbin menganggap isu dadah pernah menggoyahkan kumpulan itu.

"Mengimbau kembali ke tahun 90an, kami ada masalah dadah. Namun, hal tersebut berjaya ditangani dan kami berjaya bangun dan kembali bebas.

"Bila difikirkan semula, dari situ kami boleh menjadi kami yang hari ini. Hal berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjaya kami sebagai penyanyi," kata mereka lagi.

Slank dianggotai Kaka selaku vokalis, Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) berjaya menghiburkan peminat selama dua jam.

Sepanjang lebih dua jam persembahan Konsert 4 Dekad Slank, band dari Jakarta, Indonesia itu berjaya memukau peminat yang hadir dengan lagu-lagu hits mereka.

Antara lagu yang didendangkan termasuklah I Miss U But I Hate U, Gara Gara Kamu, Virus, Mars Slankers, Kirim Aku Bunga dan Ku Tak Bisa.

Persembahan turut dihangatkan dengan kehadiran Ratu Rock Negara, Ella yang mempersembahkan lagu Pandang Pertama bersama Slank selain lagu solo Kesal dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 2:38 PM