Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Pertembungan budaya Sabah dan Sarawak yang dipersembahkan pada Pementasan Apresiasi Seni 2014 Orkestari Bayu Kenyalang baru-baru ini, nyata menyentuh hati penonton di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.

Konsert muzikal tari yang me­ngetengahkan persembahan muzik bambu oleh Kumpulan Suara Buluh Perindu Kundasang, Sabah turut bergabung tenaga bersama Kumpulan Perantisan Busak Elai dari Lawas, Sarawak.

Pementasan selama 90 minit itu mengisahkan pengembaraan pemuda berbangsa Dusun dari Kundasang bernama Bayu (watak dilakonkan oleh Ebi Kornelis) yang mahir bermain alat muzik bambu.

Pengembaraannya dikisahkan dalam bentuk persembahan muzik dan tarian di mana pemuda itu tiba di Lawas, lalu bertemu gadis cantik suku Lun Bawang bernama Kenyalang (watak dilakonkan oleh Brenda Anura Londoh).

Pelbagai pengisian disusun me­ngikut tema persembahan bagi setiap segmen dalam tempoh itu bagi memastikan penonton merasai keu­nikan seni yang ditonjolkan.

Pegawai Projek Orkestari Bayu Kenyalang, Rosdianah Roman, 33, berkata, program anjuran bersama JKKN Sabah dan JKKN Sarawak itu memberi ruang kepada kumpulan seni dan budaya di bawah Program Perantisan JKKN mempamer karya dan bakat mereka selepas mengikuti kelas perantisan selama enam bulan.

Katanya, karya dipersembahkan pada pementasan menerusi lagu tradisional, moden secara silih berganti. Antara lagu dan tarian dipersembahkan ialah Sayang Kinabalu, Anak Kampung, Puteri Santubong, Tarian Leleng dan Tarian Busak Baku.

"Tahun ini JKKN Sabah menjalankan Program Perantisan Muzik Bambu membabitkan 25 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang.

"Mereka dilatih mengikut modul pembelajaran muzik bambu yang ditetapkan oleh jurulatih berkemahiran dalam bidang itu," katanya.

Jelas Rosdianah, JKKN Sarawak pula mengetengahkan Kumpulan Perantisan Busak Elai dari Lawas membabitkan 18 pelajar yang dibimbing dalam bidang seni tari etnik Lun Bawang.

Menurutnya, program itu juga menjadi platform pendedahan umum serta mengangkat produk seni persembahan di kedua-dua negeri yang boleh dikolaborasikan dalam pelbagai genre persembahan untuk dipertontonkan kepada ma-syarakat tempatan dan pelancong.

Sementara itu, peserta mewakili Kumpulan Perantisan Busak Elai, Gabrialie Trevor Kaya, 11, berkata, program disertai itu memberi pe-ngalaman baru buatnya kerana melalui program itu dia dapat mempelajari budaya dan seni muzik tradisional Sabah yang jarang didengari.

"Ini program pertama saya sertai di luar Sarawak, dan nyata persembahan ini luar biasa bagi saya kerana dapat mempelajari budaya baru di Sabah. Lebih menarik, pemandangan di Kota Kinabalu sungguh cantik selain makanannya sedap," katanya.

Peserta mewakili Kumpulan Suara Buluh Perindu Kundasang, Nur Shahirah Jamaludin, 22, turut me-ngakui dia mempelajari seni muzik tradisional Sarawak melalui pementasan Orkestari Bayu Kenyalang 2014.

"Program ini menyeronokkan kerana dapat mengenali budaya Sarawak, khususnya suku Lun Bawang. Secara peribadi, kali pertama saya mendengar dan melihat seni tari Sarawak iaitu Busak Baku dan Tarian Lele," katanya.

Terdahulu, pementasan itu turut dijayakan bersama kumpulan Kuswari dan Kumpulan Kesenian JKKN Sabah. Pementasan Orkestari Bayu Kenyalang itu turut dihadiri Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Presiden Persatuan Lun Bawang Lawas, Willie Liaw dan Pengarah JKKN Sabah, Jasmi Rasit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM