Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Aishah, 57, menegur tindakan pengacara, Sherry Alhadad, 38, apabila menyifatkan individu yang menjalani pembedahan bariatrik untuk kurus sebagai jalan pintas.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, pengacara itu tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan demikian kerana prosedur pembedahan biatrik yang dibuat atas nasihat doktor.

"Ini adalah sebagai satu reaksi kepada video yang dimuat naik oleh Sherry. Saya gembira apabila dia (Sherry) berjaya menurunkan berat badan dengan bantuan produk.

"Satu fakta yang begitu melukakan hati saya adalah apabila dikatakan sebagai jalan mudah. Itu adalah tidak benar kerana pembedahan ini adalah jalan terakhir buat kami atas nasihat doktor.

"Jangan pukul rata kerana ini bukanlah pembedahan kosmetik, tetapi ia untuk tujuan kesihatan. Mereka yang ingin menjalani pembedahan ini mempunyai masalah kesihatan tersendiri sebelum disarankan menjalani pembedahan biatrik.

"Jadi, jangan sebarkan fitnah mengatakan pembedahan ini sebagai jalan mudah untuk kurus. Saya sudah melaluinya selama lima tahun dan bukan mudah," katanya.

Menurut Aishah, sekiranya Sherry hendak mempromosikan produk pelangsingan, dia tidak perlu menyelar dan menyindir mana-mana pihak berhubung isu itu.

"Jika anda ingin menjual produk, silakan tetapi jangan perlekehkan keputusan orang lain untuk menggunakan alternatif lain.

"Sekurang-kurangnya, pembedahan biatrik telah lama dan sudah ada kajian mengenai kesan jangka panjang mengenainya.

"Namun jika mengambil produk langsing untuk kurus, adakah kita tahu mengenai kesan jangka panjangnya terhadap tubuh? Jadi tolong hormati perasaan orang lain," katanya.

Terdahulu, video yang dimuat naik oleh Sherry mengundang rasa kurang senang kepada Aishah yang turut menjalani pembedahan biatrik empat tahun lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 3:41 PM