AISHAH
AISHAH
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Aishah meluahkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pengusaha produk pelangsingan badan yang sanggup menipu pelanggan demi mengaut keuntungan 'membabi buta'.

Menurut Aishah, kebanyakan duta produk yang dilantik berjaya mengurangkan berat badan hasil pembedahan pintasan usus (bariatric), sebaliknya bukannya kerana keberkesanan produk itu.

"Saya rasa sedih apabila terjadinya syarikat produk kuruskan badan yang menggunakan duta yang sebenarnya sudah kurus kerana pembedahan bariatric dan bukan kerana keberkesanan produk mereka.

"Allahuakbar, hentikan penipuan ini! Ini bukan tindakan yang betul. Pihak berkuasa pantaulah produk begini.

"Kasihanlah mereka yang berjuang dengan berat badan dan ditipu dengan produk yang mendakwa penurunan berat badan duta mereka adalah kesan dari produk mereka tetapi sebenarnya hasil pembedahan. Ini satu penipuan," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Aishah berkata, selepas hampir dua tahun menjalani pembedahan pintasan usus, dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 33 kilogram.

Tambahnya, tidak mudah untuk dirinya mendapatkan berat badan dan saiz ideal.

"Beberapa hari ini saya banyak tertengok gambar lama semasa bertanding di Gegar Vaganza musim keempat dulu. Muka macam bulan mengambang, pipi pauh sebesar padang. It felt like a life time away!

"Perjalanan penurunan berat badan satu cabaran, walaupun dengan menjalani pembedahan bariatic bersama Dr Mustafa, hanya orang yang pernah sampai tahap 'morbid obesity' saja tahu cabaran kehidupan apabila saiz badan berlebihan ini.

"Sakit kaki, penyakit-penyakit lain, kecewa dengan 'body shaming' dan kualiti hidup yang agak terhad bila badan kita pada saiz itu. Setiap hari adalah satu 'struggle' cabaran.

"Dua tahun selepas pembedahan saya dapat turunkan 33 kilogram dan masih berusaha untuk sampai ke berat sasaran. The struggle is real, the pain is also so real!" katanya yang menjalani pembedahan itu pada awal tahun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:54 PM