ZAMANI ketika muncul menyanyi baru-baru ini.
ZAMANI ketika muncul menyanyi baru-baru ini.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Zamani Slam, 51, perlu menjalani sesi fisioterapi dua kali dalam seminggu dan harus banyakkan berehat lagi susulan keadaan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya selepas melakukan pembedahan pada awal November lalu.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim berkata atas sebab kesihatannya itu, dia perlu mempertimbangkan tawaran-tawaran nyanyian yang sudah diberikan penganjur untuknya dalam jangkamasa terdekat ini.

"Saya masih perlu banyak berehat lagi dan harus menjalani rawatan susulan di hospital iaitu melakukan sesi fisioterapi dua kali dalam seminggu untuk memastikan keadaan fizikal saya kuat dan kembali stabil semula.

"Jadi, tawaran-tawaran menyayi  yang sudah diberikan kepada saya dalam jangkamasa terdekat ini masih perlu dipertimbangkan kerana keadaan kesihatan memang masih belum pulih sepenuhnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zamani, dia kini bertekad mahu menyediakan dirinya dalam keadaan yang terbaik dan lebih bertenaga untuk acara-acara hiburan serta persembahan yang akan dijayakan pada masa akan datang.

"Alhamdulillah, berkat doa rakan-rakan yang mengenali saya  dan juga peminat-peminat sangat membantu memberi kekuatan untuk saya bangkit dan perlahan-lahan memulakan semula aktiviti nyanyian. 

"Semua sokongan dan kebaikan setiap daripada anda yang mengambil berat terhadap kesihatan saya amatlah dihargai. Saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua. Hanya Allah saja dapat membalas segala kebaikan itu," katanya.

Terdahulu, Zamani selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan swata di Cheras pada 7 November lalu.

Baru-baru ini juga, Zamani dilihat tampil memenuhi undangan persembahan nyanyian dalam sebuah acara hiburan yang disifatkannya sebagai sesi percubaan untuk memanaskan badan selepas lama berehat untuk proses pemulihan dan fisioterapi.

Katanya, undangan menyanyi itu juga untuk persembahan yang singkat dan lokasi berhampiran kediamannya. Jadi, dia mengambil peluang untuk mengubati kerinduannya menghiburkan peminat yang sentiasa menyokong selama ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:31 PM