Ridzuan Abdul Rahman


Penyanyi bernama Zamani Ibrahim, 52, ini tidak pernah sunyi daripada tumpuan peminat dan liputan media.

November tahun lalu, dia menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang akibat penyakit 'scoliosis' di sebuah pusat perubatan.

Seterusnya peminat ternanti-nanti perkembangan terbaharu penyanyi lagu popular Gerimis Mengundang ini.

Ada pelbagai versi yang dicanangkan berkenaan keadaan kesihatannya dan Zamani tenang menerangkan situasi sebenar sekarang ketika ditemui baru-baru ini.

Mengakui keadaan kesihatannya sedikit merosot kerana tidak menjalani latihan fisioterapi, namun ia tidaklah sampai menjejaskan kesihatannya secara keseluruhan.

"Saya hanya sempat buat satu setengah bulan sebelum berhenti kerana terlalu sibuk memenuhi undangan persembahan.

"Saya juga bersyukur kerana risiko tulang membengkok semula seperti yang ramai fikirkan tidak berlaku. Kalau pembedahan membabitkan 'disc' mungkin berisiko tinggi. Tetapi, keadaan saya berbeza," katanya.

Bagaimanapun, dia akur perlu menjaga kesihatan sebaik-baiknya kerana jika buat sambil lewa, tidak mustahil perkara ini boleh berlaku.

"Sebelum ini, doktor mengizinkan saya kembali aktif bekerja kerana menganggapnya sebagai antara kaedah rawatan. Bagaimanapun, keadaan kini sebaliknya dan doktor nasihatkan saya kembali berehat jika keadaan semakin mudarat.

"Saya juga bercadang kurangkan aktiviti nyanyian mungkin ambil yang tertentu saja sebulan. Untuk bergerak ke tempat jauh, isteri saya memandu," kata penyanyi kumpulan Slam ini.

Sementara itu, Zamani turut menjelaskan mengenai dana yang terkumpul untuk kos pembedahannya yang dikatakan sudah menyusut.

"Masih ada baki lagi. Dana ini memang saya ketepikan untuk kos perubatan perubatan termasuk rawatan susulan atau membeli barangan berkaitan.

"Saya tak guna untuk tujuan lain, malah jumlahnya masih ada separuh lagi," katanya sekali gus menolak tanggapan yang dilemparkan.

PERLU jaga kesihatan agar penyakitnya tidak kembali mudarat.
PERLU jaga kesihatan agar penyakitnya tidak kembali mudarat.

November tahun lalu juga membawa dua cerita berbeza kepada Zamani.

Mengimbas kembali, dia menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang pada awal November yang berjaya mengubah bentuk fizikalnya kembali normal.

Bagaimanapun, pada 18 November, dia dikejutkan dengan kematian mengejut abangnya, Zulfazli Ibrahim.

Agak menyedihkan kerana Allahyarham abangnya melawat Zamani sebelum Zamani menjalani pembedahan itu.

Sebelum itu, Zamani kehilangan kakaknya, Zuraidah Ibrahim pada 26 September 2020 akibat komplikasi buah pinggang.

Pemergian abang dan kakaknya itu menjadikan Zamani satu-satunya dalam keluarganya yang masih hidup.

"Aidilfitri lalu saya sambut sederhana saja. Nak ikutkan saya tak raya sangat kerana tak balik kampung isteri di Terengganu.

"Perasaan memang sayu kerana ada anak saudara, Zynakal dan anak buah. Paling sedih apabila anak arwah Abang Zul tersilap panggil nama saya.

"Mereka pertama kali beraya tanpa bapa, masa datang beraya di rumah saya, mereka panggil saya ayah. Itu yang buat saya tak boleh tahan," katanya.

Dalam pada itu, dia turut menjelaskan kini bebas bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pengurusan atau syarikat rakaman.

"Show sekarang diuruskan oleh isteri saya. Kami dah tubuhkan satu syarikat tapi belum aktif, jadi saya tak berani nak cakap apa-apa.

"Buat masa ini begitulah keadaannya, tapi sekiranya nak keluar single baharu, saya kena ada syarikat rakaman kerana mereka ada pengalaman dan kemahiran dalam bidang ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamani akan menjayakan Konsert Kasih Pengasih 2023 yang turut menggandingkan barisan penyanyi terkenal termasuk Ameng Spring, Amir Ukay's dan kumpulan Iklim.

Konsert anjuran Pengasih ini akan berlangsung pada 1 Julai depan di Auditorium RTM Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 6:00 AM