ZAMANI akan tampil menjayakan persembahan ‘Live Showcase’ Zamani Slam (Raja Pop Balada) 6 Oktober depan.
ZAMANI akan tampil menjayakan persembahan ‘Live Showcase’ Zamani Slam (Raja Pop Balada) 6 Oktober depan.
HM Digital

Publisiti berkenaan dirinya di dada akhbar sekarang agak berkurangan, namun Zamani Ibrahim tetap bersyukur kerana perjalanan kerjaya seni masih bertahan.

Tahun lalu, penyanyi berusia 46 tahun ini mendapat percikan glamor yang hebat apabila menjayakan tiga konsert mega iaitu Konsert Kurnia Slam di Kuala Lumpur, Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin di Johor dan Konsert 3 Suara yang menggandingkannya dengan Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring di Istana Budaya.

Zamani mengakui, rezekinya ketika mula-mula keluar dari menjalani rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) memang banyak sehingga ada tawaran menyanyi terpaksa ditolak.

Undangan itu bagaimanapun agak berkurangan sekarang tetapi Zamani lega kerana rezekinya dalam industri nyanyian masih ada.

“Saya faham situasi ekonomi sekarang dan bersyukur kerana rezeki tak putus. Harga yang diletakkan untuk ambil saya menyanyi juga berpatutan. Persaingan banyak tetapi kenalah pandai bawa diri. Siapa nak letak harga lebih tinggi, terpulanglah,” katanya.

Popular dengan pelbagai koleksi lagu popular bersama Slam antaranya Tak Mungkin Berpaling dan Gerimis Mengundang, Zamani tidak meletakkan dirinya berada dalam mana-mana kategori.

“Apa yang saya buat sekarang dianggap kerja. Zaman glamor sudah berlalu dan biarlah ia kekal terpahat dalam lipatan sejarah sebagai kenangan manis. Apa yang penting, saya masih berpeluang mencari rezeki dengan menyanyi. Saya juga belum terfikir untuk menyertai program nyanyian seperti Gegar Vaganza kerana masih ada tawaran menyanyi,” katanya.

Menurutnya, peluang itu wajar diberikan kepada rakan artis yang memerlukan bagi menggilap kembali populariti yang pudar.

“Sekiranya sampai satu ketika tawaran menyanyi berkurangan, saya anggap ini sebagai talian hayat dan tiada masalah untuk menyertainya. Sebagaimana lumrah seperti peserta lain sebelum ini, saya kena hormat syarat pertandingan dan perlu akur kena menyanyi genre lagu yang ditetapkan,” katanya.

Sebagai formula untuk kekal bersaing, Zamani berhasrat menghasilkan single terbaru dan dia kini sedang menanti lagu ciptaan penyanyi Haqiem Rusli.

“Dia ada bagi lagu tetapi kurang sesuai dengan jiwa saya dan sekarang saya menunggu lagu lain ciptaannya. Saya juga ada minta lagu dengan rakan artis seangkatan. Jika sesuai dengan jiwa dan cita rasa saya, tiada masalah untuk saya merakamkannya,” katanya.

Ditanya mengenai pasangan hidup, Zamani mengakui sudah mempunyai kekasih tetapi belum ada keputusan mendirikan rumah tangga.

“Cadangnya kami nak kahwin tahun lalu tetapi tak jadi kerana beberapa masalah. Buat masa ini biarlah kami kekal berkawan dahulu. Insya-Allah sekiranya jadi, saya takkan sorok dan akan beritahu perkara baik itu kepada media,” katanya.

Jayakan Persembahan Solo

Bagi mengubati kerinduan peminat, Zamani akan tampil menjayakan persembahan ‘Live Showcase’ Zamani Slam (Raja Pop Balada) di Restoran Terapung Taman Tasik Titiwangsa - D’Saji KL Titiwangsa pada 6 Oktober ini.

Persembahan berdurasi lebih satu jam itu anjuran D’Saji KL Titiwangsa dan BEST FB KL serta turut mendapat kerjasama Indera Entertainment. Zamani mengakui teruja untuk beraksi dalam persembahan pertama terbesarnya tahun ini.

“Mulanya persembahan itu mahu diadakan di sebuah kelab hiburan tetapi saya fikir peminat saya bukan golongan yang suka ke situ. Kalau buat persembahan tiada sambutan, ia akan mendatangkan kesan negatif pada saya sendiri. Saya mahu ia berjaya dan akhirnya Restoran Terapung Taman Tasik Titiwangsa - D’Saji KL Titiwangsa dipilih,” katanya.

Zamani mengakui berdebar memikirkan sambutan yang bakal diterima. Bagaimanapun, dia lega apabila peminatnya memberikan respons positif di laman sosial.

“Saya juga selalu disokong oleh kelab peminat dan insya-Allah akan mendapat sambutan. Ruang persembahan juga sederhana boleh memuatkan sekitar 400 hingga 500 peminat dan ini membolehkan peminat lebih dekat dengan saya.

“Saya akan menyampaikan 16 lagu dengan iringan pemuzik daripada Patriot Band. Selain itu, persembahan itu turut menampilkan kumpulan Electric 5 sebagai artis undangan,” katanya.

Pembeli tiket akan dapat menikmati juadah lazat yang disediakan D’Saji.

Mereka yang ingin membeli tiket boleh melayari laman web MyTicket.Asia atau datang terus ke kaunter pertanyaan D’Saji Titiwangsa KL untuk mendapatkan tiket daripada harga serendah RM70 sehingga RM250. - Ridzuan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 8:34 AM