Keluarga Pak Mat yang mempunyai pelbagai ragam
Keluarga Pak Mat yang mempunyai pelbagai ragam

Pelbagai jenaka dan ragam Pak Mat lakonan Imuda dapat disaksikan dalam drama bersiri, The Pak Mat Clan menerusi slot Sakura TV3.

Dalam drama ini Imuda yang cukup dikenali sebagai seniman serba boleh mengendalikan sebuah kafe, Sitdown Coffee. Keluarga Pak Mat ini mempunyai pelbagai ragam sehingga memeningkan kepala.

Disiarkan setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 6 petang, The Pak Mat Clan diarahkan oleh Safuan Rasyid dengan nukilan skrip bersama Aloy Paradoks, Rayza Mukmin dan Taqim Zaki.

Drama komedi bersiri 20 episod ini diterbitkan oleh Lumatic Films dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Imuda, Aishah Atan, Ezzrin Loy, Iman Suhana, Qistina Khaled dan ramai lagi.

Lakonan Imuda sebagai Pak Mat dalam The Pak Mat Clan
Lakonan Imuda sebagai Pak Mat dalam The Pak Mat Clan

Pak Mat adalah seorang pesara tentera yang kini mengendalikan sebuah kafe bersama keluarganya. Perniagaan milik mereka sedang menghadapi masalah kekurangan pelanggan, maka Pak Mat bercadang untuk meluaskan perniagaan mereka dengan membuka cawangan di Bali.

Namun, cadangan ini dibantah oleh Puan Sally kerana dia merasakan bahawa cadangan tersebut hanyalah pengaruh Encik Im.

Selepas menamatkan pengajian, Jay, anak sulung Pak Mat, masih belum menjumpai haluannya apabila dia diberhentikan kerja sekali lagi. Dalam pada masa yang sama, hari jadi teman wanitanya, Syikin makin hampir dan Jay ingin memberi hadiah istimewa buat Syikin tetapi berdepan dengan masalah kewangan.

Jay mencuba pelbagai cara untuk mengumpul duit, termasuk menjadi pemandu E-Hailing menggunakan kereta Encik Im yang sedang berada di Bali, namun kesemuanya gagal.

Nurul, anak bongsu Pak Mat dan Puan Sally, berhadapan masalah di kolej dengan Prof Hamdan yang mula berubah sikap. Dalam pada masa yang sama, Nurul juga terasa disisihkan oleh Pak Mat yang sering melebihkan Jay dalam segala hal. Dapatkah Pak Mat menyelesaikan segala ragam keluarganya itu?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:30 AM