JAY mahu berjaya dalam semua bidang diceburi. FOTO: Halimaton Saadiah
JAY mahu berjaya dalam semua bidang diceburi. FOTO: Halimaton Saadiah
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYANYI dan pelakon cilik, Muhammad Nazif Ihsan Mohd Nazi, 11, atau Jay Nazif mengimpikan untuk memiliki album sendiri selain diberi peluang membintangi filem tempatan.

Anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini amat mengagumi pengarah filem, Syamsul Yusof kerana bagi Jaya, hasil karyanya amat berkualiti.

Baru selesai menjalani penggambaran drama Mak Cun musim kelima, Jay menjadikan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Alif Satar dan Tom Cruise sebagai idolanya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah membintangi tujuh telemovie, sebuah teater dan memiliki dua lagu. Namun, saya teringin membintangi filem kerana inginkan pengalaman.

“Saya menyasarkan 10 tahun untuk menjadi selebriti yang matang dan serba boleh,” katanya pada sesi fotografi bagi mempromosikan single keduanya, Kata Papa Mama (Kapama) di Studio The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengenai lagu itu, katanya, lirik dan melodi dihasilkan Manusia Putih dan ia dimuat naik di YouTube pada 6 Ogos lalu.

“Lagu ini menerima sokongan lebih baik berbanding single pertama berjudul Friends. Baru tiga minggu disiarkan, ia meraih 232,226 tontonan,” katanya.

JAY baru selesai menjalani penggambaran drama Mak Cun musim kelima.
JAY baru selesai menjalani penggambaran drama Mak Cun musim kelima.

Ikon Pulau Pinang 2018 itu memberitahu lagu berkisar mengenai remaja lelaki mahu bercinta dengan perempuan dewasa namun dihalang ibu bapa yang mahukannya menamatkan pembelajaran.

Katanya, klip video itu dibuat di Pantai Keranchut, Pulau Pinang dan bertujuan mempromosikan negeri kesayangan.

“Saya menyasarkan tontonan mencecah 500,000 dalam tempoh sebulan dan sejuta tontonan dalam dua bulan,” kata murid Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya, Seberang Jaya, Pulau Pinang ini.

Dia yang memegang watak cucu Mak Cun dalam drama bersiri Mak Cun musim keempat turut berharap menerima undangan mengadakan program di Singapura, Indonesia dan Brunei kerana memiliki peminat di negara berkenaan.

Ditanya mengenai pembelajaran, Jay memberitahu akan membawa buku bagi mengulang kaji pelajaran sekiranya terbabit penggambaran atau program nyanyian.

“Walaupun bergelar artis muda, pendidikan amat penting dalam kehidupan saya. Saya juga mengikuti kelas tambahan dan mengambil tuisyen di luar untuk meningkatkan prestasi pembelajaran,” katanya.

Jay dalam pada itu menadah kesyukuran sebaik dipilih Ikon Pulau Pinang 2018 oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri kerana aktif dalam dunia seni, pembelajaran dan sukan di negerinya.

Dia yang juga dipilih sebagai Ikon Kesenian Pulau Pinang pada Jun tahun lalu menerima anugerah yang disampaikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Jay, setakat ini dia masih menyertai program pembangunan bola sepak Pulau Pinang dan bakal menjadi pelapis serta pemain di negeri itu.

“Dalam program tunas ini, saya bertindak sebagai penyerang sejak berusia tujuh tahun. Alhamdulillah, saya dapat mengimbangi masa antara persekolahan, karier dan sukan,” katanya.

Bakat Jay mula dicungkil sebaik dia menjayakan rancangan Seram Selebriti musim kedua awal tahun lalu sebelum membintangi drama bersiri Mak Cun musim keempat.

Artis termuda di bawah naungan syarikat rakaman NAR Records itu kemudian mengeluarkan single pertama pada Mei tahun lalu dan setakat ini membintangi tujuh telemovie.

Dia memegang watak utama dalam telemovie, Tiga Lima yang disiarkan di TV3.

Selain itu Jay diberi peluang mementaskan teater berjudul Pak Pandir Sebuah Muzikal di Dewan Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:00 AM