JAY Nazif.
JAY Nazif.
Sudirman Mohd Tahir

Drama Mak Cun 4 yang disiarkan di TV3 baru-baru ini berjaya memperkenalkan nama pelakon kanak-kanak, Jay Nazif dalam bidang lakonan.

Malah, watak Atan yang dilakonkan Jay atau Muhammad Nazif Ihsan Mohd Nazi, 10, iaitu cucu kepada Mak Cun (Erma Fatima) membantu melonjakkan lagi populariti Jay.

Meski sebelum itu Jay pernah membintangi beberapa program dan drama, namun karakter Atan lebih meninggalkan kesan dalam diri peminat drama bersiri komedi itu.

Malah, Jay yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang berkata, gara-gara drama itu dia semakin dikenali dan popular di sekolah.

“Mak Cun 4 adalah drama bersiri pertama lakonan saya. Sebelum ini pernah terbabit dalam program Seram Selebriti 2 di saluran Astro Prima dan pementasan teater Pak Pandir Sebuah Muzikal.

“Namun, rezeki saya apabila watak Atan diterima baik penonton. Malah, saya mendapat maklum balas positif. Daripada situ juga, saya mula dikenali dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah.

“Malah, kalau di sekolah ada budak perempuan yang minta tanda tangan selain ingin menjadikan saya adik angkat. Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah dikejar sampai ke tandas,” katanya yang juga pengawas di sekolah.

Menurut Jay, dia tidak kisah dipanggil Atan kerana percaya watak itu dekat dengan hati penonton.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam Mak Cun 4, Jay berkata dia seronok dan bertuah dapat berlakon di samping pelakon hebat lain.

“Saya tidak pernah dapat pengalaman yang seronok seperti berlakon dalam Mak Cun. Setiap lokasi meninggalkan kenangan yang cukup indah buat saya.

“Paling penting, peluang berlakon dengan nama besar dalam drama ini satu penghargaan untuk saya. Meski sekadar melakonkan watak cucu, saya tetap rasa bangga.

“Bekerja dengan Mama Erma memang kena fokus. Dia seorang yang tegas dan tidak suka main-main. Kalau salah dialog, dia akan marah. Apatah lagi kalau membabitkan babak menangis, dia suruh buat betul-betul,” katanya.

Jay berkata, disebabkan dirinya mampu menghafal skrip dan menangis dengan baik antara sebab dia terpilih berlakon dalam drama itu selepas Erma menonton lakonannya dalam Seram Selebriti 2.

Ikon Sekolah Pulau Pinang

Satu pencapaian buat Jay yang juga murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya apabila diangkat sebagai Ikon Sekolah Pulau Pinang.

Menurut Jay, pemilihan itu atas faktor pencapaian cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan pembabitan dalam bidang seni.

“Saya bersyukur dan bertuah kerana dipilih. Selain terbabit dalam bidang lakonan, saya juga mula berjinak-jinak dalam nyanyian.

“Saya difahamkan kesemua perkara ini diambil kira termasuk pencapaian akademik sebelum pemilihan dibuat. Sejujurnya, ia satu tanggungjawab untuk bawa nama sekolah,” katanya.

Selain itu, Jay turut dipilih menyarung jersi sebagai pelapis bola sepak Pulau Pinang bawah 10 tahun.

Perkembangan lain, Jay dalam perancangan menghasilkan single baru berentak rancak dan menyelitkan elemen K-Pop.

“Lagu ini mungkin berbeza sedikit daripada penyanyi lain. Saya ingin mencuba sesuatu yang baru. Insya-Allah saya akan masuk studio dalam waktu terdekat.

“Setakat ini sudah ada enam komposer memberikan lagu.

Tinggal lagi nak pilih. Dalam masa sama, saya juga ada lagu sendiri. Jadi, tengok kepada hasil perbincangan dengan pihak syarikat rakaman iaitu NAR Records,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 1:27 AM