Sheila (gambar kiri) bakal memeriahkan Konsert 25 Tahun Padi Reborn.
Sheila (gambar kiri) bakal memeriahkan Konsert 25 Tahun Padi Reborn.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Konsert 25 Tahun Padi Reborn di Zepp Kuala Lumpur pada 3 Disember depan bakal menampilkan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Sheila Majid sebagai penyanyi jemputan.

Pengasas yang juga pemain gitar Padi Reborn, Piyu berkata, pemilihan Sheila bersesuaian dengan taraf legenda yang diberikan kepada penyanyi lagu Sinaran itu.

"Sheila adalah penyanyi legenda Malaysia. Kami juga peminat dia. Malah, persembahan ini nanti adalah sesuatu yang baru buat kami juga. Kalau ikutkan kami pernah berkolaborasi bersama pada 2005 menerusi lagu Antara Anyer Dan Jakarta di Indonesia, tapi persembahan tertutup. Kemudian, sekali lagi pada 2018 pada acara sambutan tahun baru di sebuah stesen TV di Indonesia.

"Insya-Allah, pada konsert ini nanti kami akan menyampaikan lagu hits Sheila dan bersama-sama menyanyikan lagu Padi Reborn. Lagu apa, biarlah ia menjadi kejutan. Mudah-mudahan kami dapat memberikan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, Padi Reborn yang dianggotai oleh Piyu, Fadly (penyanyi), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) ditemui pada sesi temu bual secara virtual sempena Padi Reborn 25 Tahun Live in Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Sheila Majid, dia berbesar hati dan terharu kerana dijemput bagi menjayakan konsert itu.

"Saya rasa berbesar hati dan terharu dijemput sebagai penyanyi undangan oleh pihak Padi Reborn dan penganjur, Qew Comm untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-25 mereka pada Konsert Padi Reborn 25 Years Live In Kuala Lumpur.

"Seingat saya, kami belum pernah berkolaborasi dalam mana-mana konsert atau persembahan namun pernah berkongsi pentas yang sama dalam sebuah acara tahun baru di Yogyakarta pada 2018.

"Saya berharap peminat akan dapat datang dan sama-sama menyaksikan kerjasama perdana kami dalam konsert ini. Mengenai lagu, perlu tunggu dan lihat kerana ini juga elemen kejutan buat peminat. Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya selaku penganjur berkongsi tiket menyaksikan konsert itu sudah lebih separuh terjual.

"Alhamdulillah, jualan tiket dah lebih separuh terjual. Kami mengharapkan sehingga konsert ini berjalan, penjualan akan lebih banyak. Sebenarnya, untuk sambutan berpecah ke konsert lain, kami percaya konsert ini ada sesuatu yang istimewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 4:24 PM