Ridzuan Abdul Rahman

Seperti lagu Menanti Sebuah Jawaban, penantian tujuh tahun peminat kumpulan Padi atau lebih dikenali sebagai Sobat Padi menyaksikan mereka kembali bergabung akhirnya menjadi kenyataan.

Dianggotai Fadly selaku vokalis, Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram), kumpulan itu menggunakan nama Padi Reborn bagi menggambarkan kelahiran semula mereka selepas tujuh tahun menyepi.

Diterbangkan ke Kuala Lumpur baru-baru ini untuk sidang media Konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun nanti, tiga anggotanya iaitu Fadly, Piyu dan Ari membuka cerita mengenai ‘kehilangan’ mereka.

“Sepanjang kami vakum (menyepikan diri) Sobat Padi tidak pernah ketinggalan mengadakan perjumpaan sebagai tanda mengingati kumpulan ini.

“Mereka berkumpul di beberapa kota utama Indonesia seperti Jakarta, Jogjakarta, Makassar, Bandung dan Bogor sambil mengharapkan kami kembali bergabung sebagai satu kumpulan.

“Kesungguhan mereka membuka pintu hati kami untuk bergabung semula. Kami menghargai apa yang mereka lakukan,” kata Fadly.

Padi yang berasal dari Surabaya mempunyai lima album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007).

Sepanjang berehat, mereka didatangi pelbagai tawaran untuk kembali beraksi di atas pentas tetapi menolak kerana belum bersedia.

“Ya, memang banyak tawaran tetapi kami belum bersedia secara mental. Untuk apa paksa diri walaupun dibayar mahal sedangkan jiwa kami tidak fokus sepenuhnya.

“Kami perlu bersedia terlebih dahulu sebelum kembali beraksi di hadapan peminat. Sebenarnya, selepas tampil dengan album Tak Hanya Diam ada tawaran untuk ‘road tour’ tetapi kami memutuskan untuk berehat.

“Memang agak berat untuk jelaskan kepada penganjur kami terpaksa tolak tawaran ini. Dua tahun lepas, ada juga tawaran dari Malaysia tetapi kami tolak kerana belum bersedia,” kata Piyu.

Tanggal 10 November 2017, mereka mengisytiharkan kembali bergabung dengan menggunakan nama Padi Reborn.

“Sebenarnya kami bukan bergabung kerana tawaran untuk buat konsert. Kami komited untuk kembali bersama dan sekiranya ada tawaran buat konsert, itu soal lain.

“Mungkin Padi satu-satunya kumpulan di Indonesia yang menunjukkan komitmen terhadap kumpulan dengan buat perjanjian (MOU) untuk kembali bersama.

“Usaha ini dilanjutkan dengan penghasilan filem pendek berjudul Menanti Sebuah Jawaban. Ia bagaikan terapi buat kami kerana menceritakan apa yang terjadi kepada Padi,” kata Piyu.

Bagi memastikan filem ini sama dengan perjalanan yang dilalui, penulis skripnya menemubual setiap anggota Padi.

“Ia menonjolkan sikap sebenar kami iaitu ada yang marah, benci dan sebagainya.

“Ia sudah disiarkan di SCTV pada tahun lalu dan akan ditayangkan sekali lagi Mei ini.

“Apa yang pasti kami bersyukur kerana bukan semua orang berpeluang dapat kesempatan kedua dan ia sesuatu yang luar biasa,” kata Ari.

Sepanjang tempoh tujuh tahun itu Piyu aktif menghasilkan album solo dan menerbitkan album artis lain. Fadly pula menerbitkan album kanak-kanak dan album Upin & Ipin.

“Meski puas, kami tidak gembira seperti ketika bersama dalam Padi.

“Memandangkan sudah sembilan tahun tidak beraksi di Malaysia, kami akan tampilkan sesuatu yang berbeza dalam konsert ini. Kami rindukan peminat.

“Bukan di sini saja, secara rasminya sudah tujuh tahun Padi tidak terbabit dalam mana-mana persembahan. Tidak ada konsert atas nama Padi dan kerinduan itu sangat mendalam.

“Kami mahu peminat menikmati nostalgia bersama lagu-lagu Padi. Persembahan berdurasi 90 minit ini akan menampilkan sekitar 15 hingga 16 lagu,” kata Fadly.

Lagu-lagu yang bakal dinyanyikan sudah tentunya Menanti Sebuah Jawaban, Mahadevi, Begitu Indah, Semua Tak Sama dan Kasih Tak Sampai.

“Kami juga akan menyanyikan lagu istimewa Sahabat Selamanya yang menjadi runut bunyi Upin & Ipin.

“Kami diberitahu semasa majlis penutup Sukan SEA 2017 di sini, ia dimainkan dan ramai yang turut sama menyanyikannya. Mungkin ada yang tidak tahu ini lagu Padi,” kata Piyu.

Konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL dibawakan Qew Communications Sdn Bhd dan akan berlangsung di KL Live Kuala Lumpur, jam 8 malam.

Persembahan ini turut diserikan dengan penampilan kumpulan Pitahati yang akan menjadi kumpulan undangan.

Tiket untuk Padi Reborn Exclusive Live In KL dijual dengan harga RM149 (early birds) dan RM179.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 3:49 AM