PADI Reborn mempunyai pengaruh dan peminatnya sendiri.
PADI Reborn mempunyai pengaruh dan peminatnya sendiri.
Sudirman Mohd Tahir


Kumpulan popular Indonesia, Padi Reborn bakal mengadakan konsert di sini sempena meraikan ulang tahun ke-25 mereka menerusi Konsert 25 Tahun Padi Reborn di Zepp Kuala Lumpur pada 3 Disember depan.

Pengasas yang juga pemain gitar Padi Reborn, Piyu berkata, konsert itu khusus bagi merayakan ulang tahun jubli perak mereka bersama peminatnya, Sobatpadi dan penggemar muzik di sini.

"Ini adalah kesempatan yang mengujakan buat seluruh anggota Padi Reborn kerana akan merayakan perjalanan dan ulang tahun jubli perak kami yang ke-25 di Malaysia. Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn lagi," katanya.

Selain Piyu, Padi Reborn turut dibarisi penyanyinya, Fadly, Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram).

Konsert 25 Tahun Padi Reborn itu dibawakan sekali lagi oleh Qew Communications Sdn Bhd atau Qew Comm, penganjur sama yang membawa mereka ke sini beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur kerana sepanjang pandemik Covid-19 melanda dunia, sesuatu yang tertunda termasuk keinginan mereka membawa Padi Reborn kembali ke sini menjadi nyata.

"Kami percaya dengan kembalinya Padi Reborn ke Malaysia sempena ulang tahun ke-25 akan memberi satu lagi justifikasi mengenai kumpulan yang mempunyai pengaruh dan peminatnya sendiri ini sebagai penghibur yang tidak akan mati ditelan zaman," katanya.

MEMULAKAN langkah awal dalam dunia muzik dengan nama Padi pada sekitar 1997.
MEMULAKAN langkah awal dalam dunia muzik dengan nama Padi pada sekitar 1997.

Tiket menyaksikan persembahan Padi Reborn mulai dijual hari ini.

Sebelum menggunakan nama Padi Reborn, mereka memulakan langkah awal dalam dunia muzik dengan nama Padi pada sekitar 1997.

Album Lain Dunia yang dipasarkan setahun kemudian dijual lebih 800,000 unit, sekali gus menyemarakkan nama Padi sebagai antara kumpulan terbaik di Indonesia.

Dua tahun selepas itu, mereka kembali dengan album Sesuatu Yang Tertunda dan terjual 1.6 juta unit dengan meraih 10 kali anugerah platinum pada 2002.

Seterusnya, pada 2003, Padi melancarkan album Save My Soul, Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007).

Namun Padi senyap selama tujuh tahun sebelum membuat kemunculan semula menerusi Padi Reborn pada 2017.

Selepas berehat panjang dan bersatu kembali, Padi Reborn mengeluarkan album Indera Keenam pada 2019 serta karya yang belum pernah dilakukan sebelumnya.

Dalam masa sama, Padi Reborn turut terbabit dalam kerjasama filem pendek, menjadi hos untuk program televisyen swasta hinggalah menciptakan lagu pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 6:49 AM