Aisha Retno. Foto dari Instagram.
Aisha Retno. Foto dari Instagram.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi juga pemenang tempat ketiga Big Stage 2022, Aisha Retno mengakui ibu bapanya memberi kebebasan penuh untuk dia membuat keputusan terhadap karier, namun tidak buat urusan percintaan dengan seseorang.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 22, berkata ibu bapanya akan memantau dengan siapa dia berkawan dan berteman, tetapi amat bertolak ansur untuk kerjaya seninya yang semakin menyerlah dalam industri.

"Kalau soal percintaan, ibu bapa saya memang akan pantau. Namun, sebaliknya untuk urusan kerja. Mereka beri saya kebebasan penuh dalam membuat keputusan yang difikirkan terbaik.

"Jadi, untuk saya sekarang hanya berkawan saja. Jika nak melangkah ke fasa lebih serius seperti percintaan, belum lagi. Saya tidak memilih sangat pasangan, asalkan orangnya berpendidikan, sopan santun, sayang keluarga dan sukakan kucing.

"Kenapa kena suka kucing juga? Sebabnya, saya amat sayangkan kucing dan di rumah pun sekarang ada 30 ekor kucing yang dibela," katanya ketika ditemui pada acara pratonton RR Bridal RTW 22 oleh pereka fesyen Rizman Ruzaini, baru-baru ini.

Menurut Aisha lagi, melayan keletah kucing adalah hobinya yang juga disifatkan sebagai terapi terbaik untuk menyalurkan rasa tenang pada diri selepas penat bekerja dan berehat sepanjang masa di rumah.

Mengulas juga mengenai gosip, Aisha yang baru melancarkan lagu Sutera berkata, dia tidak gemar mendedahkan dirinya dengan kisah-kisah sensasi untuk mendapatkan publisiti dan populariti murahan.

"Saya percaya pada rezeki Allah dan akan terus berusaha untuk menyerlahkan karier sehingga berjaya. Saya tidak gemarkan gosip murah, hanya untuk mendapatkan populariti segera.

"Saya pun tak kisah bermula perlahan dalam karier kerana usia masih muda. Saya tak mahu terkejar-kejar dan semuanya biarlah berjalan mengikut seperti apa dirancang. Setakat ini, Alhamdulillah ada peningkatan dalam karier seni saya," katanya.

Terdahulu, Aisha mengakui dia berasa amat gembira apabila turut menjadi artis tempatan yang dipilih menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena kempen EQUAL oleh Spotify pada Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 1:03 PM