Penyanyi dan pempengaruh, Asad Motawh.
Penyanyi dan pempengaruh, Asad Motawh.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun baru berusia 21 tahun, penyanyi dan pempengaruh popular, Asad Motawh sudah memiliki dua buah banglo, suite peribadi dan sebuah kereta mewah.

Asad berkata, segala aset yang dimiliki adalah usaha keras yang dilakukan selepas menjalankan tiga perniagaan.

"Angka pendapatan saya tak mahu sebut, 'google' (cari) saja sendiri. Sebenarnya mungkin ramai tak tahu saya ada tiga perniagaan iaitu perkhidmatan cuci kereta, membuat landskap dan kini sedang mengusahakan syarikat produksi Motawh Production yang baru beroperasi sembilan bulan lalu.

"Saya ada pejabat dan pasukan sendiri yang terdiri daripada lapan kakitangan. Kami banyak buat kerja belakang tabir seperti iklan, muzik video dan sebagainya. Kami juga berjaya mendapatkan pelanggan jenama-jenama besar hasil kerjasama agensi bakat, Xeno," katanya.

Menurut Asad, dia tidak berminat untuk menunjuk-nunjuk aset yang dimiliki kerana tidak memberi sebarang faedah kepadanya.

"Saya mula miliki rumah sewaktu berusia 19 tahun. Apa yang saya miliki hari ini biasa-biasa saja. Mungkin sebab saya mempunyai ramai kawan-kawan artis yang kaya.

"Apabila seseorang itu semakin kaya, semakin sedikit kekayaan yang ingin ditunjukkan kepada orang lain. Saya tak nampak apa-apa kelebihan kalau menunjukkan harta. Lagipun kalau saya tunjuk segala aset, nanti orang tetap akan mengata saya acah-acah dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 4:34 PM