ISYRAQ Ariff bersama laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam
ISYRAQ Ariff bersama laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Hati-hati dengan scammer bernama Ustaz Rani yang mengaku anak sulung atuk. Tiada orang bernama sedemikian dalam keluarga kami". 

   Demikian kata cucu kelima Allahyarham Datuk Jamali Shadat iaitu Isyraq Ariff Zalull Ariff, 32, kepada Harian Metro. 

   Menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi oleh seorang individu menerusi mesej Facebook yang bertanyakan berkenaan Ustaz Rani.

   "Individu ini bertanya saya sekiranya mempunyai bapa saudara yang dikenali sebagai Ustaz Rani dan bekerja di Baitumal.

   "Katanya Ustaz Rani ini berlegar-legar di Hospital Kuala Lumpur dengan menawarkan bantuan Baitulmal, laptop secara percuma, peralatan gadget serta kad OKU (Orang Kurang Upaya). 

   "Bagaimanapun mereka perlu buat bayaran sebanyak RM100. Ustaz Rani berjanji untuk menghubungi dia semula," katanya.

   Bagaimanapun Ustaz Rani tidak berbuat demikian menyebabkan individu terbabit curiga dan menghubungi Isyraq Ariff untuk kepastian.

   "Justeru pihak keluarga mengingatkan kepada masyarakat supaya berwaspada dengan sindiket scammer ini yang cuba memerangkap mangsa dengan cara ini. 

   "Susulan kejadian ini, saya sebagai wakil kepada pihak keluarga sudah  membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi. 

   "Saya harap masyarakat tidak mudah terpedaya dan segera menghubungi kami sekiranya didatangi individu ini lagi," katanya. 

   Terdahulu, Allahyarham Jamali yang juga pelawak 'stand up' komedi terkenal meninggal dunia di usia 78 tahun pada 3 Februari tahun lalu.

   Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 1:08 PM