KEADAAN Datuk Jamali Shadat semakin uzur.
KEADAAN Datuk Jamali Shadat semakin uzur.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Cucu kepada pelawak 'stand up' komedi popular, Datuk Jamali Shadat, 78, mengesahkan keadaan datuknya sekarang semakin uzur dan kurang mempunyai selera makan.

Isyraq Ariff Zalull Ariff, 31, berkata, datuknya kini hanya mengambil makanan lembut seperti bubur nasi dan perlu dibantu setiap kali makan.

"Memang keadaannya sekarang agak uzur. Sekitar Disember tahun lalu, saya ada melawatnya dan datuk didapati masih boleh makan dan berjalan walaupun perlahan.

"Tapi tengahari semalam emak saya, Hamidah (anak sulung Jamali) cakap datuk tak nak makan dan minum lagi. Saya terus bergegas melawatnya petang semalam juga.

"Saya tengok dia memang tak nak makan. Namun, kami paksa juga dan alhamdulillah dapatlah juga dua, tiga suap bubur nasi masuk mulutnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang juga anak keempat Hamidah, datuknya kini hanya berkomunikasi menerusi gerakan bahasa badan.

"Suaranya tak keluar, jadi dia gunakan cara ini. Apabila kita bercakap dengannya, saya tak pasti sam ada datuk faham atau tidak.

"Kadangkala kita tanya nak makan atau tak? tapi caranya macam tak nak. Bila disuap dia makan. Malah, kini sikap datuk dah macam kanak-kanak. Kita kena layan dia dan berborak dengannya.

"Semalam juga doktor dan jururawat klinik desa ada datang melawat dan merawat serta berikan datuk air glukos untuk bagi dia ada tenaga," katanya.

Di era kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama 'Atan' bersama Atuknya serta rakan-rakan berbilang kaum.

Isyraq Ariff berkata, datuknya amat terkesan dengan kematian isterinya, Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018 sehingga membuatkan dia murung.

"Arwah nenek meninggal pada hari pertama Syawal selepas sebulan terlantar di hospital. Datuk memang jaga nenek dengan penuh perhatiannya.

"Sebelum itu, datuk yang kena angin ahmar dan dijaga arwah nenek sampai pulih. Arwah nenek buat rumah di Pulau Indah, Klang ini dan rancang nak tinggal dengan datuk.

"Apabila rumah siap, nenek meninggal dan hanya jasadnya dibawa balik ke situ," katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku membuatkan datuknya amat terkesan kerana segala jadual aktiviti seni dan kehidupan diuruskan oleh neneknya.

"Selepas itu dia macam termenung dan khayal. Rumahnya bersebelahan dengan rumah bapa saudara saya iaitu Fauzi.

"Keluarga pakcik saya yang tengok-tengokkan dan menjaganya. Dia (datuk) memang tak nak pergi mana-mana walaupun diajak.

"Malah semasa sambutan hari raya pun kalau pergi rumah anak-anak atau saudara, tak sampai tiga minit datuk dah ajak balik," katanya.

Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mendapatkan rawatan di klinik berdekatan tiga bulan sekali.

Dia perlu menjalani pemeriksaan untuk darah tinggi, kencing manis dan tahap kolestrol.

Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Keadaannya mendapat perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang melakukan lawatan menerusi Program Ziarah Finas Prihatin 2.0 di Klang pada 25 November, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:31 PM