ANUAR Zain.
ANUAR Zain.

Kuala Lumpur: "Hati-hati dengan 'scammer' yang muncul dengan pelbagai cara. Pastikan anda tidak terpedaya dengan 'scammer' terutamanya yang membabitkan wang ringgit." kata penyanyi Anuar Zain.

Anuar menitipkan pesan kepada peminatnya agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pihak yang menyamar sebagai dirinya.

Menurutnya, jika berdepan dengan situasi mencurigakan dalam media sosial ataupun aplikasi tertentu, perkara itu hendaklah dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.

"Pada sesiapa yang terpedaya dengan 'scammer' yang sedang aktif menjalankan aktiviti, anda dinasihatkan untuk terus membuat laporan polis, sekat dan laporkan nombor tersebut dengan secepatnya," tulisnya menerusi perkongsian di Instagram Story.

Dalam pada itu, Anuar juga penyanyi lagu Lelaki Ini turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang melaporkan kes penyamaran itu kepada pihak pengurusannya.

"Terima kasih pada mereka yang cepat bertindak dengan menghubungi pihak pengurusan sebelum terus terpedaya dengan scammer," katanya.

Adik kepada penyanyi Ziana Zain itu turut berkongsi tangkap layar mesej yang memaparkan perbualan penjenayah siber terbabit dengan mangsa yang dikirimkan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 3:33 PM