AZHAN Rani
AZHAN Rani
Norhayati Nordin


PELAKON Azhan Rani, 43, mengambil tindakan membuat perkongsian di Instagram berhubung taktik pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjerat untuk penipuan dalam talian.

Azhan berkata, dia pernah menjadi mangsa ‘scammer’ dua tahun lalu dan tidak mahu perkara sama berulang padanya termasuk menjerat orang lain.

Ketika itu, dia kehilangan belasan ribu Ringgit hasil pendapatannya sebagai pelakon dalam sekelip.

Katanya, penjenayah terbabit hanya meninggalkan wang sebanyak RM50 dalam akaun bank dan mujur ketika itu isteri dan rakan pelakon, Beto Kusyairy banyak membantu.

"Saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa dan untuk peringatan bersama. Insiden penipuan 'scam' pernah dilalui itu menyebabkan dia hingga kini menjadi 'pendendam tegar' kepada cubaan menipu golongan itu.

"Dengan perkongsian yang dibuat saya mahu masyarakat berhati-hati dengan setiap panggilan dan apa saja mesej diterima menerusi telefon. Jangan terburu-buru bertindak terutama ketika marah atau emosi tidak stabil. "Taktik penipuan ‘scammer’ sekarang terlalu banyak. Dalam pelbagai cara, mereka boleh lakukan dan masyarakat kena lebih berhati-hati.

"Baik taktik secara halus menerusi telefon atau pun tawaran untuk menyertai pakej perkhidmatan menjurus keagamaan pun turut diguna pakai mereka untuk menipu," katanya.

Azhan yang popular dengan watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 di TV3 berkata, sekarang orang sanggup memanfaatkan pihak lain untuk kesenangan hidup.

"Senang cakap individu seumpama 'Ustaz Hamadi' kini ada di mana-mana. Jadi, pinta saya pada orang ramai supaya berhati-hati dan berfikir teliti sebelum bertindak.

"Apapun, pengalaman pernah menjadi mangsa 'scam' itu saya anggap berpunca di atas kebodohan sendiri. Jadi, saya berazam takkan melaluinya lagi pada 2020 nanti.

"Tahun depan, usia saya pun sudah 44 tahun. Dengan peningkatan usia dan fikiran semakin matang diharapkan kehidupan saya lancar dan terus dilindungi Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 5:10 PM