Mona Din pada sidang media mengenai Rumahku Syurgaku pemaju hartanah MRF Consultant (M) Sdn Bhd menawarkan unit kediaman pada harga maksimum secara percuma, penerima rumah hanya perlu membayar RM 10 untuk urusan penyerahan unit kediaman. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mona Din pada sidang media mengenai Rumahku Syurgaku pemaju hartanah MRF Consultant (M) Sdn Bhd menawarkan unit kediaman pada harga maksimum secara percuma, penerima rumah hanya perlu membayar RM 10 untuk urusan penyerahan unit kediaman. FOTO ROHANIS SHUKRI

Kuala Lumpur :Bimbang golongan artis ditipu dan dipergunakan, aktivis, Mona Din; peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat menasihatkan mereka supaya tidak termakan dengan tawaran rumah yang kedengaran tidak masuk akal.

Mona mengingatkan penggiat seni supaya berhati-hati dengan operasi dan modus operandi sebuah pemaju hartanah yang memperkenalkan skim Rumahku Syurgaku dengan menawarkan rumah berharga RM500,000 kepada penggiat seni atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris ditampilkan sebagai duta Pelancongan Seni dan Budaya serta Pemegang Amanah menerusi skim yang disebut khidmat sosial amal jariah membantu ummah itu.

Menurut Mona, artis hanya perlu membayar RM10 untuk urusan penyerahan unit kediaman dengan harga terbabit.

Namun, jika mereka ingin mendapatkan rumah berharga RM1 juta, mereka hanya perlu membayar RM10,000.

Majlis pelantikan berlangsung akhir Jun lalu dan sehingga kini difahamkan hampir 200 artis sudah memohon skim berkenaan.

Mona berkata, pihaknya sudah meneliti berita yang dilaporkan beberapa akhbar tempatan serta klip video yang menunjukkan artis veteran menangis kerana bakal mendapat rumah.

"Saya dan rakan-rakan aktivis lain membuat semakan semula untuk mengenal pasti adakah tawaran yang dikenakan projek perumahan itu 'too good to be true'," katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, dia seterusnya menghubungi Noraniza untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sebarang dokumen berkaitan projek ini, namun ditolak.

Dia kemudian mengadakan pertemuan dengan beberapa artis pada 1 September lalu untuk berbincang lebih lanjut berkenaan kes terbabit.

"Saya sudah memberikan pandangan bahawa mungkin ada unsur 'scam' dalam skim ini namun mereka menolak. Jadi, saya menghormati pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar pula berkata, beberapa bayangan yang boleh diperhatikan menunjukkan terdapat unsur penipuan dalam skim Rumahku Syurgaku ini.

"Jika kita tengok, terdapat tawaran yang agar luar biasa diberikan iaitu bayar RM10 untuk dapat rumah RM500,000. Kemudian dia kata RM10 rumah itu dah habis, dia tawarkan rumah RM1 juta dengan syarat bayar RM10,000.

"Bila dah ramai rasa terlepas untuk dapatkan rumah berharga RM500,000 itu, ramailah yang akan bayar RM10,000 untuk dapatkan rumah RM1 juta. Itu sudah 'red flag'.

"Seterusnya tempoh masa. Tidak ada pelaburan yang stabil oleh pihak syarikat. Yang ada hanyalah bon-bon yang palsu. Ia bon yang sama kita boleh beli di Shopee. Kita boleh simpulkan ini adalah ciri-ciri 'scammer' melainkan ia dibuktikan sebaliknya," katanya.

Mereka menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan kerana ada kemungkinan deposit yang dikutip oleh syarikat pemaju tidak mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia.

Dalam pada itu, Noraniza ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen dan meminta menghubungi peguamnya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 4:43 PM