Riena Diana
Riena Diana
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Riena Diana yang sudah enam bulan putus cinta menjelaskan perasaannya kini seronok dan selesa dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang. 

Riena atau Nur Qamarina Diana Zulreal, 26, berkata, dia mungkin akan meneruskan kehidupan solo begini pada masa sekarang tanpa kehadiran lelaki.

"Dulu memang ada perancangan nak kahwin (dengan bekas kekasih), tapi mungkin tiada jodoh. Dia pun dah dengan haluannya. Saya pula nak fokus dengan karier dulu. 

"Mungkin sebab karier juga (putus cinta) kerana dia orang biasa dan bukan dalam industri. Jadi, susah kerana jadual saya padat dan tiada masa sangat buatnya. Kasihan juga dia nak kahwin, tapi saya pula sibuk. 

"Jadi saya rasa sampai sini sajalah hubungan kami. Sekarang saya rasa lebih selesa fokus dengan karier saya, maksudnya tiada orang lain yang saya nak kena fikir," katanya kepada Harian Metro. 

Pelakon Kampung People dan Boleh Saya Bantu? ini berkata, setiapkali bangun tidur sekarang, fikirannya hanya terarah kepada 'shooting'. 

"Kalau ada sedikit masa yang terluang pun hanya untuk keluarga. Saya tak pernah langsung rasa sunyi sehingga tergerak nak hubungi dia. 

"Tapi kami masih lagi berkawan sebab saya dengan dia lama, lima tahun. Jadi kalau kata nak 'lost contact' terus itu tak adalah. Kami tetap berkawan dan tak bermusuh. 

"Apapun saya tak kunci hati untuk terima cinta lelaki lain, cuma belum jumpa yang sesuai. Saya tak cerewet tapi keluarga terutamanya nenek yang cerewet," katanya. 

Menurutnya, status sebagai anak sulung dan perempuan tunggal dalam keluarga memang menjadi perhatian.

"Selain ada seorang adik lelaki seibu sebapa, saya juga ada dua adik tiri perempuan hasil perkahwinan ayah dengan wanita lain. Jadi, keluarga saya pentingkan lelaki yang bertanggungjawab.

"Iyalah...kita penat-penat kerja tentulah nakkan lelaki yang bertanggungjawab dan boleh jaga kita. Saya harap 2024 ini akan menjadikan hidup dan karier saya lebih sukses," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:22 PM