Emma Maembong bersama anaknya, Shariq Gabriel
Emma Maembong bersama anaknya, Shariq Gabriel
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Emma Maembong mengambil pendekatan untuk tidak melatah apabila didakwa mewarnakan rambut anak lelakinya, Shariq Gabriel yang baru berusia dua tahun dengan warna coklat keperangan.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail berkata, dia tidak terkesan dengan komen berkenaan kerana mengetahui kebenaran dan kesahihan di sebalik dakwaan yang dilemparkan.

"Saya tidak melatah atau menjawab dakwaan itu, sebaliknya rasa lucu saja. Takkanlah saya hendak mewarnakan rambut anak saya yang masih kecil.

"Mungkin ramai tidak tahu, rambut asli saya sebenarnya berwarna sama, cuma apabila sering menukar warna dan sebagainya, tidak dapat dah warna itu.

"Kadang-kadang jika kacukan, mungkin tidak dapat pada kita tetapi turun kepada anak-anak pula. Jadi bagi saya, isu yang timbul ini bukanlah isu besar," katanya.

Emma berkata, dia juga memiliki warna rambut yang seakan-akan sama ketika remaja. Namun, warna itu sudah tidak kelihatan apabila dia mula mewarnakan rambut.

Emma berkata, Shariq memiliki warna sedemikian memandangkan ibu Emma, Yatimah Zainab adalah wanita berambut perang yang berasal dari Scotland.

Berkongsi mengenai perancangan cahaya mata, pelakon berusia 30 tahun ini berkata, dia mahu memiliki anak yang ramai, lebih-lebih lagi dia mempunyai 11 orang adik-beradik dan suka menjaga anak saudara.

"Saya memang ada mencuba untuk dapatkan anak kedua tapi belum ada rezeki lagi. Sebenarnya saya memang merancang untuk dapat anak cepat. Kalau boleh lepas pantang anak pertama itu, nak cuba terus dapatkan anak kedua. Itulah, kadang-kadang kalau kita nak sangat, susah nak dapat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Emma kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Mati Pucuk yang menampilkan dia dan Shah Jaszle selaku teraju utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 4:23 PM