Jasmin dan suami, Mohd Osman (gambar kiri). Kenangan Allahyarham Kuswadinata dan isteri, Kamariah (gambar kanan).
Jasmin dan suami, Mohd Osman (gambar kiri). Kenangan Allahyarham Kuswadinata dan isteri, Kamariah (gambar kanan).
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya dulu selalu kena halau dengan arwah papa, apabila masuk ke dapur nak tengok dia memasak," kata Jasmin Kuswadi, 37, anak kepada pelakon era 1960-an, Allahyarham Kuswadinata yang kini berniaga di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana Ampang.

Jasmin berkata, apapun dia bersyukur kerana dapat juga mewarisi bakat memasak Allahyarham bapanya itu yang cukup dikenali pada kalangan rakan artis dan penggiat seni sebagai individu yang 'pakar' di dapur.

"Arwah papa saya, walaupun orangnya serius dan banyak melakonkan watak 'jahat' dalam filem serta drama, tapi dia seorang lelaki dan bapa yang budiman, baik hati, ringan tulang, pandai memasak dan cekap menjaga anak-anak dalam semua sudut.

"Sama ada pakaian, makanan dan segalanya untuk saya serta adik-beradik yang lain, papa yang urus dan jaga. Hinggakan, ramai menyifatkan ibu saya, Kamariah Mohd Said adalah wanita sangat bertuah kerana mempunyai suami seperti papa yang mahir membuat kerja rumah dan cekap menjaga anak," katanya kepada Harian Metro.

Jasmin dan suami mengusahakan perniagaan makanan dan roti canai.
Jasmin dan suami mengusahakan perniagaan makanan dan roti canai.

Jasmin yang terbuka berkongsi kenangan bersama Allahyarham bapanya berkata, dia bersama adik-beradiknya yang lain memang tiada seorang pun berminat dalam lakonan dan kesemua mereka hanya mewarisi bakat memasak arwah.

"Alhamdulillah, saya dan semua adik-beradik, kami pandai memasak. Untuk berlakon pula, memang tak ada yang mewarisi walaupun saya pernah ikut papa berlakon dalam telefilem Erti Sebuah Kebebasan ketika berusia 15 tahun.

"Saya tak minat berlakon sebab tidak gemar menunggu di set penggambaran. Arwah papa pun tak beri galakan kepada kami adik-beradik untuk mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon. Tapi, alhamdulillah, saya ikut jejak langkah papa sebagai tukang masak," katanya.

Berbicara mengenai perniagaannya, Jasmin berkata dia bersama suami, Mohd Osman Amirrudin sudah aktif berniaga pelbagai makanan seperti roti canai, roti sarang burung extravaganza dan makanan barat, hasil air tangan mereka sejak dua tahun lalu.

Katanya, tapi yang paling istimewa juga dia turut menyediakan resipi hidangan arwah bapanya seperti sambal, kuah dal, kari ayam, kari daging dan banyak lagi dengan harga sangat berpatutan serta rasa yang enak.

Menurut Jasmin, selepas susah payah diharungi akibat penularan Covid-19 sebelum ini, tetap ada hikmah di sebaliknya.

Jasmin (kiri) bersama suami menunjukkan album gambar arwah Kuswadinata. FOTO Effendy Rashid
Jasmin (kiri) bersama suami menunjukkan album gambar arwah Kuswadinata. FOTO Effendy Rashid

Kata ibu enam anak ini, dia bersyukur perniagaannya semakin mendapat perhatian apabila mempunyai 'repeat customer'.

Terdahulu, Allahyarham Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang cukup dikenali dengan panggilan 'abang Kus' menerusi filem Seniman Bujang Lapok meninggal dunia pada 16 Februari 2013 ketika berusia 74 tahun kerana masalah buah pinggang dan kanser usus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 9:39 AM