JASMIN dan suami, Mohd Osman menunjukkan foto kenangan Allahyarham Kuswadinata.
JASMIN dan suami, Mohd Osman menunjukkan foto kenangan Allahyarham Kuswadinata.
Norhayati Nordin


ADAT anak seni, pasti bakat yang dimiliki bakal diwarisi anak-anak mereka. Namun, ia tidak bagi pelakon veteran era 1960-an, Allahyarham Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang.

Empat anak Allahyarham bersama isterinya dikenali sebagai Kamariah Mohd Said, tiada seorang pun yang berminat terbabit dalam industri hiburan. Tapi, mereka mewarisi bakat pelakon itu yang pakar memasak.

Anaknya, Jasmin Kuswadi, 37, berkata, meskipun dia dan adik-beradiknya membesar sebagai anak pelakon, namun mereka berasakan ia bukan kerjaya sesuai untuk diceburi, selain tidak ada minat.

"Ketika remaja dulu, saya pernah ikut arwah papa berlakon dalam telefilem Erti Sebuah Kebebasan yang diterbitkan untuk sambutan kemerdekaan negara. Saya berusia 15 tahun pada masa itu. Malah, pembabitan pun sekadar untuk cari pengalaman.

"Dapat juga saya berlakon dengan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof ketika itu dan arwah sangat baik orangnya kerana banyak membantu saya di set penggambaran. Alhamdulillah, itu antara kenangan yang saya ingat sampai sekarang.

"Tapi, yang pasti saya sedar karier seni tidak sesuai untuk saya. Ini kerana, saya tidak gemar menunggu lama di set penggambaran. Syukur arwah papa amat memahami dan tidak memaksa saya untuk aktif sebagai pelakon," katanya

Menurut Jasmin, Allahyarham bapanya juga tidak pernah menggalakkan dia dan adik-beradik lain untuk mengikut jejak langkah sebagai anak seni. Apa pun katanya, dia amat gembira dapat mewarisi bakat memasak arwah bapanya.

"Papa sangat suka memasak, mengemas rumah dan menjaga anak-anak sekiranya dia tidak ada jadual 'shooting'. Sepenuh masanya sering dihabiskan di rumah untuk masak makanan enak buat kami adik-beradik.

"Cara papa memasak juga 'old style' yang menggunakan segala rempah ratus asli yang ditumbuk sendiri dan keenakan hidangannya memang sedap. Arwah papa kalau memasak semua juadahnya sedap dimakan," katanya.

Jasmin yang kini berniaga makanan dengan membuka gerai di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana Ampang berkata, dia dan suami, Mohd Osman Amirrudin aktif berniaga sejak dua tahun lalu.

"Sebelum berniaga kedai makan, saya dan suami ada pengalaman bekerja dalam bidang perhotelan. Namun, disebabkan suka memasak dan berniaga, kami akhirnya berhenti kerja dan cuba berniaga secara kecil-kecilan. Mulanya kami pernah tumpang berniaga di gerai orang.

"Apa pun urusan rezeki ini milik Allah dan selepas menghadapi susah payah akibat penularan Covid-19, sekarang baru kami ada gerai makan sendiri. Malah, sambutan diterima pun amat baik kerana kami juga mempunyai 'repeat customer'," katanya.

Gerai makan Jasmin beroperasi setiap Ahad hingga Khamis dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari dan jam 4 petang hingga 11 malam itu menyediakan pelbagai makanan enak dengan harga berpatutan seperti roti canai, roti sarang burung extravaganza dan makanan barat.

Jasmin berkata, kebanyakan sajian hidangan disediakannya adalah daripada 'original' resepi Allahyarham bapanya seperti masak lemak, sambal, kuah dal, kari ayam, kari daging dan banyak lagi.

Terdahulu, Allahyarham Kuswadinata yang cukup dikenali dengan panggilan 'Abang Kus' menerusi filem Seniman Bujang Lapok meninggal dunia pada 16 Februari 2013 ketika berusia 74 tahun kerana masalah buah pinggang dan kanser usus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 6:45 AM