PAPAR Open 4x4 Challenge 2022.
PAPAR Open 4x4 Challenge 2022.
Minda Ranggong


AKTIVITI atau sukan lasak sering dikaitkan dengan kaum lelaki kerana ia dianggap sebagai medan untuk mereka membuktikan kejaguhan atau kelelakian.

Namun kini pembabitan wanita dalam aktiviti lasak dimonopoli kaum itu bukan perkara asing kerana diakui mempunyai keupayaan sama walaupun ia dilihat kasar serta berisiko.

Itu yang berjaya dibuktikan dua adik beradik ini dari suku kaum Lun Bawang.

Memiliki personaliti dan paras rupa yang menarik, siapa sangka Grace Dayang Padan, 34, dan Jasmine Saran Padan, 26, berjaya membuktikan keupayaan mereka.

Ternyata dua beradik ini terinspirasi dengan usaha dan kegigihan ibu bapa mereka dengan didikan kekal tabah dan tidak pernah putus asa dengan setiap lapangan yang diceburi.

Selain menongkah pandangan stereotaip selepas membabitkan diri dalam aktiviti lasak yang agak ekstrem.

Ternyata, dua beradik yang berasal dan menetap di Lawas, Sarawak ini begitu sinonim dengan bentuk muka bumi berbukit serta tidak mempunyai jaringan jalan raya menyeluruh, malah di sesetengah kawasannya tidak berturap serta berlumpur.

Keadaan itu mendorong Grace dan Jasmine meminati aktiviti mengemudi kenderaan pacuan empat roda (4x4) sejak pandemik covid-19 pada 2020.

JASMINE mengendali kenderaan tersangkut dalam lumpur menggunakan winch.
JASMINE mengendali kenderaan tersangkut dalam lumpur menggunakan winch.

Ini kerana hampir setiap hari mereka ulang-alik mengemudi kenderaan pacuan empat roda melalui laluan mencabar sepanjang 66 kilometer dari pekan Lawas ke inap desa mereka yang terletak di pedalaman untuk menghantar bekalan makanan.

Grace mengakui kecekapan dan kelincahan dia serta adiknya mengemudi pacuan 4x4 melalui halangan mencabar mencuri perhatian orang ramai serta kelab 4 x 4.

"Saya memuat naik video di laman sosial ketika mengendalikan pacuan empat roda di mana kenderaan kami itu terkandas dalam lumpur. Kami berjaya mengeluarkan kenderaan berkenaan. Video itu tular dan mendapat banyak tontonan serta perkongsian.

"Semenjak itu, kami mendapat tawaran menjadi ahli Lawas Four Wheel Drive Club dan menghantar wakil wanita untuk pertandingan 4 x 4," katanya.

Grace pernah bercita-cita menjadi seorang guru kerana ingin mengikuti jejak langkah tiga orang kakaknya yang berjaya menjadi pendidik.

Pada masa sama, dua beradik itu juga banyak menyertai pertandingan 4 x 4 yang dianjurkan di Borneo seperti Penampang Kaamatan 4x4 Challenge 2022, Papar Open 4x4 Challenge 2022, Kota Belud International 4x4 Challenge, Serian Open 4x4 Challenge 2023 dan 31st Borneo Safari International Off Road Challenge Edisi ke-31.

Pada mulanya mereka hanya diajar oleh ayah mereka berkenaan ilmu asas pemanduan lasak.

Selepas menjadi ahli kelab pacuan 4 x 4, Grace dan Jasmine sedikit demi sedikit mula mahir dengan teknik-teknik mengendalikan kenderaan lasak.

"Ayah kami mengajar cara mengendalikan kenderaan hanya di kawasan Lawas sahaja.

JASMINE (kiri) dan Grace (kanan) berpakaian tradisional suku kaum Lun Bawang.
JASMINE (kiri) dan Grace (kanan) berpakaian tradisional suku kaum Lun Bawang.

"Apabila sudah menyertai kelab dan aktif dalam aktiviti ini, ahli kelab dan peserta profesional lain banyak mengajar kami cara penggunaan gear, 'low gear,' 'winching' dan banyak lagi supaya kami dapat melalui kawasan trek yang penuh halangan," kata Jasmine.

Bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai peranan dan tugasan berbeza. Grace sebagai 'driver' manakala Jasmine sebagai 'co-driver.'

Mengakui setiap hobi dan sukan ekstrem semestinya mencabar dan memerlukan pengorbanan, dua beradik itu percaya setiap pengalaman dilalui itu meninggalkan momen berharga yang tidak dapat dilupakan.

"Perubahan cuaca antara cabaran besar buat kami. Jika hujan lebat, kami akan bermandi lumpur di kawasan trek. Selain itu, kami juga pernah mengendalikan 4 x 4 di tengah panas terik," kata Grace.

Jasmine berkata, mereka juga pernah berhadapan dengan detik-detik yang mencemaskan ketika menyertai pertandingan hingga menyebabkan dia mengalami luka ringan dan juga lebam.

"Kami pernah terperangkap di dalam trek berlumpur ketika beraksi di Papar. Ketinggian lumpur pada ketika itu mencecah separuh ketinggian kenderaan kami.

"Kawasan itu pula tiada pokok untuk saya sangkutkan tali. Oleh itu, saya terpaksa menggunakan alternatif lain mengeluarkan kenderaan daripada lumpur.

"Saya menggunakan sepenuh tenaga untuk mengeluarkan 'ground anchor' secara manual. Ia agak susah dikeluarkan dan mengambil masa agak lama kerana peralatan itu sudah masuk ke dalam tanah," kata Jasmine.

Bukan setakat mengendalikan pacuan empat roda 4 x 4, namun Grace dan Jasmine juga berjaya menawan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu dan gunung keempat tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Murud pada usia muda.

"Kami juga merancang meneroka gua di Borneo seperti Gua Mulu dan Gua Niah," kata Jasmine yang pernah bercita-cita menjadi seorang polis. Selain turut menanam impian menjadi seorang model di atas pentas.

Walaupun lasak, jiwa feminin jelas terpancar pada perwatakan dua beradik ini.

Berkongsi tentang kehidupan seharian di laman sosial, mereka mempunyai bilangan pengikut yang ramai dalam aplikasi TikTok dan Instagram sehingga boleh dikategorikan sebagai pempengaruh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:01 AM