JASMINE akui Sufian penuhi kriteria lelaki idaman namun anggap diarakan selebriti paling rapat. FOTO Mahzir Mat Isa
JASMINE akui Sufian penuhi kriteria lelaki idaman namun anggap diarakan selebriti paling rapat. FOTO Mahzir Mat Isa
Najiy Jefri


PELAKON Jasmine Suraya Chin, 30, tidak tahu kenapa ramai pihak membuat spekulasi dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan penyanyi Sufian Suhaimi yang dianggapnya sebagai rakan selebriti paling rapat.

"Saya tidak tahu, kenapa orang selalu ingat saya dengan dia? Kami selesa berkawan baik sejak lebih setahun lalu.

"Memang tiada masalah ketika berkawan dengan Sufian, cuma setakat ini kami hanya teman rapat. Saya dengan Sufian sepadankah? Jujur, Sufian seorang lelaki yang sangat 'sweet'. Namun kami jarang berhubung. Kalau ada masa, barulah saling bersembang. Dia pun ada komitmen sendiri, begitu juga dengan saya," katanya.

Menurut Jasmine, dia tidak menafikan pelantun lagu Dimatamu itu memenuhi kriteria lelaki idamannya.

"Hampir 70 peratus kriteria ada pada dirinya. Dia memenuhi ciri-ciri lelaki pilihan saya. Sufian seorang yang cukup merendah diri.

TIADA masalah dan tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki Melayu. FOTO Mahzir Mat Isa
TIADA masalah dan tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki Melayu. FOTO Mahzir Mat Isa

JASMINE akui Sufian seorang yang cukup merendah diri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
JASMINE akui Sufian seorang yang cukup merendah diri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

"Pada masa sama, dia juga bijak menguruskan kewangan. Misalnya jika dia ada RM10,000 dalam tangan, dia tidak mudah boros.

"Bagi saya, itu antara ciri penting yang perlu ada bagi seorang lelaki. Seorang yang berjimat cermat, tapi tak kedekut," katanya yang bakal terbabit dengan penggambaran drama bersiri Bidadari Salju terbitan A Aida Production Sdn Bhd bulan depan.

Ditanya sekiranya bertemu jodoh dengan lelaki Melayu, Jasmine mengakui tiada masalah dan tidak menolaknya.

"Saya okey saja sebab teman lelaki pertama saya dulu pun seorang Muslim. Lima tahun kami bersama, tapi tiada jodoh. Saya tidak melihat soal perbezaan agama sebagai satu masalah memandangkan rakan-rakan pun kebanyakannya Melayu.

"Keluarga pun tidak memberikan apa-apa syarat. Selagi anaknya gembira dan lelaki terbabit baik dan boleh terima saya seadanya, itu sudah memadai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jasmine baharu saja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Subcribe Cintaku dengan Sufian yang bakal ditayangkan di Astro Citra tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:21 AM