Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Taktik suami isteri menyeludup keluar lebih empat kilogram dadah jenis syabu yang disorok di dalam tong plastik gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan polis, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, kedua-dua suspek warga Indonesia, masing-masing berusia 22 dan 21 tahun dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman secara haram melalui Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata mereka ditangkap anggota dari Balai Polis Tawau dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) ketika membuat penugasan rutin di jeti berkenaan.

Menurutnya, ketika ditahan pasangan terbabit membawa satu tong berwarna biru yang didalamnya terdapat beberapa helai pakaian serta satu kotak warna hijau bertulis 'Hiroyuki Gasoline Chain Saw'.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kotak itu menemui tiga bungkusan plastik warna hijau bertulis 'Guanyinwang' berisi bahan hablur jernih mampat disyaki dadah syabu.

"Selain itu, satu lagi kotak kecil turut ditemui mengandungi satu bungkusan plastik warna emas bertulis 'Guanyinwang' berisi bahan disyaki dadah jenis yang sama (syabu)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

JASMIN menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada pasangan suami isteri di Jeti Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama. FOTO Abdul Rahemang Taiming
JASMIN menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada pasangan suami isteri di Jeti Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Jasmin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sebelum ini bekerja dalam sektor perladangan di Lahad Datu, selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

Katanya, jumlah berat bagi kesemua empat bungkusan syabu terbabit adalah seberat 4,091 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM240,000.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian kegiatan pengedaran atau sindiket yang terbabit.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1957/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 12:41 PM