Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Drama bersiri Melur Untuk Firdaus yang baru sahaja menutup tirai di slot Lestary pada 15 Julai lalu, berjaya meraih 11 juta penonton di Malaysia.

Menurut sumber penarafan Nielsen pada Mei hingga Julai, gandingan serasi Meerqeen dan Anna Jobling sebagai pelakon utama juga mencapai 823 juta interaksi di media sosial sepanjang 28 episod bersiaran di televisyen.

Drama yang penuh dengan bibit romantik ini turut mencetus fenomena di Asia Tenggara sejak mula disiarkan sehingga kini.

Malah sebanyak 200 akaun kelab peminat di media sosial sudah dicipta oleh peminat negara dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei dan Thailand.

Maklum balas dari penonton melalui media sosial kebanyakan memberi pujian kepada pelakon kesukaan mereka seperti Meerqeen, Anna Jobling, Fimie Don dan Nesa Idrus kerana berjaya menghayati watak-watak yang diberikan sehingga mereka mahukan ia disambung ke musim yang kedua.

Dalam masa sama, kegembiraan turut dikongsikan dengan kejayaan runut bunyi Melur Untuk Firdaus, 'Duka Sebalik Tawa' nyanyian Puteri Khareeza apabila memperolehi 1.8 juta tontonan di YouTube dalam masa sebulan.

Selain itu, ia juga berjaya menduduki tempat ketiga di Spotify carta pop terkini dan 'trending' di YouTube di mana menduduki tangga ke 23 untuk muzik.

Melur Untuk Firdaus adalah adaptasi novel karya Cik Nor Cinta dan diarahkan oleh Zamri Zakaria. Ia mengisahkan Firdaus Iskandar (Meerqeen) tidak setuju dengan rancangan ibu bapa untuk mengahwinkannya dengan Melur kerana dia sudah mempunyai teman wanita bernama Dee.

Ibu bapanya memberikan 48 jam untuk Dee berkahwin dengan Firdaus. Namun, Dee tidak bersedia untuk berkahwin.

Melur (Anna Jobling) sedih kerana dia menyukai Firdaus. Melur cuba memikat hati Firdaus malah dia meletakkan 7 syarat untuk Firdaus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 2:26 PM